POLIS akan merakam keterangan pengurus hotel dan beberapa saksi bagi membantu siasatan berhubung penularan gambar majlis pernikahan selebriti Neelofa yang didakwa melanggar pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata pengurus hotel berkenaan yang bertanggungjawab melangsungkan majlis itu sudah dipanggil untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada hari ini.
“Kita sudah ambil keterangan awal semalam daripada pegawai keselamatan hotel untuk membantu siasatan insiden itu.
“Hari ini (Isnin), kita akan ambil lagi keterangan beberapa saksi, kita bukan tak boleh keluarkan kompaun serta-merta, tetapi majlis itu sudah berlalu sebelum gambar itu diviralkan dalam media sosial dan dikecam warga netizen sejak Sabtu lalu.
“Kita akan panggil semua yang terlibat untuk datang ke balai bagi memberi kerjasama supaya polis dapat melengkapkan kertas siasatan dan akan merujuk kepada pendakwa raya untuk arahan lanjut,” katanya.
Mohamad Zainal membuat kenyataan tersebut kepada media selepas Op Sarang Penagih dadah di sekitar Chow Kit bermula awal pagi tadi, lapor Malaysia Gazette.
Mengulas lanjut, beliau kesal dengan segelintir masyarakat yang tidak memahami tindakan polis dan membuta tuli mengecam pihak berkuasa kononnya memilih bulu.
Katanya, masyarakat perlu faham ketika gambar majlis pernikahan secara tertutup itu ditularkan, majlis itu sudah selesai.
“Sekiranya kita menerima laporan semasa majlis masih berlangsung, polis boleh ke lokasi dan mengeluarkan terus kompaun… ini banyak masyarakat tak faham,” katanya.
Beliau berkata, polis harus menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum membuka kertas siasatan seperti yang tertakluk di bawah perkara 18 Seksyen 21 A Akta 342 yang ditetapkan.
“Oleh kerana gambar majlis sahaja diterima maka polis perlu siasat bagi menentukan ketulenan foto itu supaya ia tidak diedit sewenang-wenangnya.
“Sudah pasti penganjur kena bertanggungjawab ke atas penganjuran majlis itu, termasuk pengurusan hotel kerana itu hotel mereka dan mereka gagal memastikan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” jelas beliau lagi.
Tambah beliau, tiada siapa yang akan terkecuali daripada dikenakan tindakan, walaupun daripada kalangan artis.
Tegasnya lagi, kertas siasatan apabila dilengkapkan nanti akan dirujuk kepada peguam negara.
“Jika peguam negara arah keluarkan kompaun kita akan buat,” kata beliau. – Malaysiapost
Artikel berkaitan : https://malaysiapost.com.my/2021/03/28/tak-patuh-sop-polis-siasat-majlis-nikah-neelofa-pu-riz/

