POLIS sudah melengkapkan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengaku gagal mengimbas kod MySejahtera dan merekodkan suhu badan ketika makan di sebuah restoran nasi ayam di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata kertas siasatan akan dirujuk kepada Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman hari ini untuk tindakan lanjut.
Katanya, selepas ia dipersetujui D5, ia akan dirujuk kepada Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.
“Kita sudah melengkapkan kertas siasatan kes Datuk Seri Najib yang mengaku ingkar prosedur operasi standard (SOP) pematuhan PKP dan makan di restoran tanpa mengimbas dan merekodkan suhu badan.
“Ia akan dirujuk ke D5 Bukit Aman hari ini juga untuk arahan lanjut dalam kes ini.
“Jika dipersetujui D5, ia akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut, iaitu jika diarahkan mengeluarkan kompaun kita akan melaksanakannya,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette.
Mohamad Zainal berkata, pada 20 Mac lalu kertas siasatan ke atas Najib dibuka mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Bersyarat).
Baru-baru ini, Najib mengakui terlupa untuk mengimbas aplikasi MySejahtera di restoran itu, sekali gus melanggar SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menerusi satu hantaran Facebook, Najib mengaku kesilapannya dan telah meminta pihak berkuasa untuk mengeluarkan saman terhadapnya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/03/19/najib-akui-terlupa-check-in-mohon-disaman/

