Majlis tunang tetap diteruskan biarpun rumah hangus terbakar

0
1

MAJLIS pertunangan seorang gadis tetap diteruskan walaupun rumah pusaka milik keluarganya yang berusia 100 tahun musnah dalam kebakaran di Kampung Parit Mustaffa Darat, Parit Sulong di Batu Pahat semalam.

Menurut gadis berkenaan, Nur Hidayah Jahurin, 20, majlis pertunangan bersama pasangannya, Mohd Sahril Sairian, 30, diadakan di rumah saudaranya yang terletak bersebelahan rumah keluarganya.

“Kami buat ala kadar hanya sarung cincin selepas semua barang musnah termasuk pelamin, barang hantaran… begitu juga makanan untuk tetamu turut hangus.

“Besar sungguh ujian kami sekeluarga, apa pun kami reda, Insya-Allah mungkin Allah nak bagi rezeki lebih baik untuk kami nanti,” katanya seperti dilaporkan Kosmo Online.

Menurut Nur Hidayah, kejadian itu berlaku kira-kira sejam sebelum majlis berlangsung dan ketika kejadian dia sedang bersiap untuk menunggu hari bahagia itu.

Kataya, semasa kejadian dia sedang bersolek tiba-tiba terdengartetamu kecoh memberitahu ada kepulan asap tebal sebelum api marak menyambar pelamin.

“Saya dengar orang cakap ada asap, saya ingatkan asap dari dapur, tetapi bila keluar api sudah marak.

“Tak sempat nak selamatkan apa-apa, dokumen penting pun tak sempat selamat, masing-masing keluar selamatkan diri,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, bapanya, Jahurin Tukiran, 54, pengsan kerana terkejut manakala saudaranya berusia 32 tahun cedera akibat terkena serpihan kaca.

Nur Hidayah yang bekerja sebagai operator dan pasangannya seorang peniaga, merancang untuk mengadakan majlis itu sejak November tahun lalu.

Majlis sepatutnya diadakan lebih awal namun kerana penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka terpaksa tangguhkan rancangan tersebut.

Tular di media sosial semalam video berdurasi 22 saat  yang memaparkan keadaan sebuah rumah terbakar sejam lagi sebelum majlis pertunangan berlangsung di kediaman tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here