Ibu sanggup acu parang halang AADK tahan anak

0
2

SEORANG ibu sanggup mengugut dengan sebilah parang bagi menghalang penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak daripada menahan dua anak lelakinya.

Dalam Operasi Perdana di Batu Kurau semalam, wanita berusia 60-an itu enggan memberi kerjasama hingga terpaksa dipujuk pegawai AADK selama lebih 30 minit.

Kedegilan wanita itu menyebabkan anaknya masing-masing berusia 18 dan 20 tahun hampir berjaya meloloskan diri.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota AADK berjaya menahan dua penagih tegar itu ketika mereka cuba melarikan diri melalui bumbung rumah.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK negeri, A. Rueben berkata, ketika serbuan dijalankan, beberapa anggotanya telah bersiap sedia mengepung rumah berkenaan.

Katanya, ketika ditangkap, dua beradik itu didapati dalam keadaan khayal dipercayai di bawah pengaruh dadah.

“Siasatan mendapati dua beradik itu penagih tegar yang dikehendaki selepas berjaya meloloskan diri dalam beberapa serbuan sebelum ini.

“Ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati mereka positif dadah,” katanya semalam.

Sementara itu, katanya, dalam operasi dua hari di Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) sejak semalam, 36 individu termasuk seorang pengedar dadah ditahan selain merampas 55.29 gram dadah jenis morfin.

Menurut beliau, kesemua suspek yang ditahan merupakan warga tempatan berusia antara 16 hingga 56 tahun.

“Kesemua mereka didapati positif dadah jenis ganja, morfin dan syabu menerusi ujian saringan awal air kencing,” ujarnya.

Beliau berkata, semua yang ditangkap akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 pindaan 1998 manakala suspek yang didapati memiliki dadah telah diserah kepada polis untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here