Berita Dr Noor Hisham ulas majlis kahwin Neelofa palsu

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menafikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ada mengeluarkan kenyataan berkaitan majlis nikah selebriti popular, Neelofa dengan Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz.

KKM menerusi kenyataan ringkas di Facebooknya memaklumkan ciapan oleh page Bawangmana adalah berita palsu.

Kementerian itu turut memuat naik tangkap layar ciapan berkenaan.

Ciapan tersebut tertulis: “DG Hisham akhirnya menjelaskan isu majlis perkahwinan Neelofa yang tidak menjaga penjarakan fizikal. Mereka semua itu satu keluarga, tinggal serumah.”

Terdahulu semalam, polis dilaporkan akan memanggil penganjur majlis pernikahan selebriti tersebut bagi membantu siasatan berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ini kerana, katanya siasatan mendapati majlis tersebut gagal mematuhi SOP ditetapkan dan tiada penjarakan fizikal.

Neelofa, 32, selamat dinikahkan dengan PU Riz, 26, dalam majlis tertutup di sebuah hotel di ibu negara kelmarin.

Bagaimanapun tular foto tetamu yang hadir semasa pernikahan tersebut duduk dalam keadaan rapat dan tiada penjarakan sosial. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here