PAU: Ahli PAS perlu elak komen tidak bijaksana

0
2

AHLI dan penyokong PAS perlu menahan diri daripada sebarang komen yang tidak bijaksana berkaitan isu-isu Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung.

Saranan itu dibuat Ahli Parlimen Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim kerana PAS telah mempunyai pemimpin yang mengatur gerak dengan bijaksana melalui matlamat yang tidak pernah padam untuk menyatupadukan ummah.

Naib Yang Dipertua Pas Kuala Terengganu itu berkata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hadir secara fizikal di PWTC, mendengar ucapan dasar Presiden Umno pagi tadi.

“Selain mendengar, kedua dua pemimpin utama PAS berkenaan lebih lebih lagi pada kedudukan menilai sentimen berada di sana,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Hubungan Umno dan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) antara isu hangat yang dibangkitkan perwakilan Pemuda, Puteri dan Wanita pada Perhimpunan sayap-sayap parti itu semalam.

Pagi tadi, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya turut menyentuh isu kerjasama kedua-dua parti.

Antaranya Ahmad Zahid berkata Piagam MN yang termeterai belum sampai ke penghujungnya dan belum terlambat untuk kedua-dua pihak ‘kembali ke pangkal jalan’.

Kenyataan berkias Presiden Umno itu dipercayai dituju kepada PAS untuk mengingatkan parti itu mengenai tindakan yang sepatutnya diambil sebagai sekutu dalam MN.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, hubungan Umno dan PAS harus dipelihara sewajarnya memandangkan penubuhan MN diiringi linangan air mata ahli kedua-dua parti selepas bersengketa selama lebih enam dekad.

Melalui MN, kata Ahmad Zahid, kedua-dua parti bersetuju untuk tidak tergesa-gesa menyertai mana-mana gabungan parti politik dan Umno bertegas dengan ketetapan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here