PDRM mohon ekstradisi 3 suspek tembak anggota PGA

0
2

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang berusaha mengekstradisi ketiga-tiga suspek utama warga Thailand yang terbabit dalam serangan ke atas dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia – Thailand di Padang Besar, November lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata ia bagi membolehkan kesemua suspek terbabit ditangkap, seterusnya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, Menteri Dalam Negeri telah menandatangani permohonan ekstradisi baru-baru ini, selaras dengan hubungan kedua-dua negara melalui triti dimeterai di Bangkok pada 4 Mac 1911.

Menurut triti tersebut iaitu Triti antara United Kingdom dan Siam yang menghormati ekstradisi jenayah fugitif.

Setelah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, pada 27 Oktober 1959 triti ini telah dipersetujui untuk diteruskan sebagai instrumen ekstradisi antara Malaysia dan Thailand.

“PDRM komited untuk memastikan segala usaha diambil agar kesemua suspek dalam kes berkenaan dapat dibawa ke Malaysia supaya proses undang-undang dapat dilaksanakan,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam kejadian pada 23 November lalu, seorang anggota PGA yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, maut akibat ditembak.

Mangsa, Koperal Baharuddin Ramli, 54, sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, yang mengalami kecederaan parah. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2020/11/26/tembak-anggota-pga-4-direman-termasuk-ketua-sindiket-penyeludupan/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here