Letak calon wanita di kerusi boleh menang, bukan kawasan sukar

0
2

WANITA Umno meminta mengingatkan kepimpinan parti bahawa calon wanita perlu diletakkan di tempat yang boleh menang pada Pilihan Raya Umum (PRU).

“Jangan letak semua di kawasan yang sukar. Pelaksanaannya perlu jujur, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga,” kata Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung Umno hari ini.

Noraini juga menggesa semua parti politik khususnya Umno untuk menggubal suatu undang-undang bagi melaksanakan satu dasar yang mewajibkan kuota 30 peratus penyertaan wanita dalam pilihan raya.

Umno, katanya sebagai parti yang sudah matang harus menjuarai agenda pemerkasaan itu.

Sementara itu beliau berkata, PRU15 adalah satu pertempuran sangat penting yang akan menentukan jatuh bangunnya Umno selepas ini.

Sehubungan itu katanya, Wanita Umno sebagai tulang belakang parti mempunyai peranan cukup besar dalam membantu kejayaan parti.

“Kita perlu memantapkan jentera kita. Gerak kerja Jalinan Rakyat dan Skuad Sayang perlu diperkemaskan.

“Sebagai jentera utama parti, kita perlu bergerak dengan lebih aggresif. Kita perlu terus memperkukuh jentera parti. Gerak kerja Jalinan Rakyat 2.0 kita perkasakan. Kembara Jalinan Rakyat akan terus diperluas. Program pemukiman dan perancangan menghadapi PRU15 perlu diperhebatkan.

“Masa sudah tidak banyak. Jalinan Rakyat perlu segera mengenal pasti pengundi, mendekati mereka dan memberikan penerangan dan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Justeru, selepas perhimpunan ini selesai, beliau mahu perwakilan Wanita Umno pulang ke bahagian masing-masing dan terus mulakan kerja, jangan lagi bertangguh.

“Selain kita turun padang berjumpa pengundi, satu lagi platform yang mesti kita kuasai adalah melalui media sosial,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here