Campak murid tadika: KPWKM gesa tindakan tegas

0
3

KERAJAAN memandang serius terhadap video tular kejadian seorang guru disyaki melakukan penderaan kepada kanak-kanak di sebuah Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) semalam.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun, berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang disyaki melakukan kesalahan yang melibatkan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak.

“Kementerian menggesa agar pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu yang disyaki terlibat dengan penderaan dan penganiayaan terhadap kanak-kanak yang boleh menjadi suatu kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya seperti dilaporkan Kosmo.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Pengoperasi Tahunan dan Penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas Zon Tengah di Empress Hotel Sepang hari ini.

Dalam pada itu, Rina berkata, kementerian juga akan berhubung dengan Kementerian Pendidikan selaku kementerian yang bertanggungjawab terhadap tadbir urus tadika.

Katanya, kerajaan akan terus komited meningkatkan kesedaran masyarakat melalui kerjasama pelbagai pihak.

“Kementerian meminta kerjasama daripada semua pihak untuk melaporkan sebarang tingkah laku yang mencurigakan terhadap kanak-kanak kepada pihak bertanggungjawab,” katanya.

Orang ramai boleh berbuat demikian dengan menghubungi Talian Kasih 15999 dan talian WhatsApp 019 – 2615999 yang beroperasi 24 jam sehari.

Terdahulu, satu video insiden kanak-kanak dicampak guru praktikal sebuah tadika di Klang, Selangor ketika mengajar dalam bilik darjah sambil diperhatikan murid-murid lain tular di media sosial. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/03/26/campak-murid-tadika-guru-praktikal-dipanggil-beri-keterangan-polis/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here