Penyatuan dengan PAS dalam MN ibarat mimpi indah – Asyraf

0
2

Najamuddin Mohd Nor

PEMUDA Umno akan terus mendokong ikatan Muafakat Nasional (MN) yang termeterai dengan PAS.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, ikatan yang terbina antara kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu adalah satu mimpi yang sekian lama dan akhirnya menjadi kenyataan.

Dalam ucapan dasar Pemuda Umno, Asyraf juga menyeru Umno dan PAS untuk terus memilihara MN dengan mengenepikan segala perbezaan yang boleh meleraikan muafakat.

“Buat sahabat dan sekutu kami Pas di dalam Muafakat Nasional. Ikhlas kami Pemuda katakan penyatuan bersama kalian adalah mimpi terindah, suatu yang kita semua dambakan berpuluh tahun lamanya.

“Pegang eratlah ikatan Muafakat Nasional ini seutuhnya! Jangan biarkan ikatan terlerai atau dileraikan oleh pihak ketiga! Kerana belum tentu peluang sebegini menjelma lagi buat kali kedua.

“Seruan Pemuda buat kepimpinan, berpakatlah dengan hikmah, berundinglah tanpa helah bak “kundur tidak melata pergi, labu tidak melata mari”. Tidak ada kusut yang tidak boleh selesai. Yang penting mesti ada ikhlas dan jujur dalam persahabatan mahupun persepakatan, ” katanya di PWTC, hari ini.

Terdahulu, Asyraf juga telah mengimbau perpecahan umat Islam dalam Perang Siffin yang wajar dijadikan ikhtibar oleh ahli-ahli Umno.

Katanya, oleh kerana mengejar imbuhan dan kepentingan diri, Umat Islam menjadi lemah dan mudah ditewaskan musuh

“Saya ingin mengimbau sejarah Islam lampau yang berlaku pada zaman Khalifah ke-4 Saidina Ali bin Abi Talib ketika Ali terpaksa berdepan dengan Mu’awiyyah dalam peperangan Siffin, yang menyaksikan umat Islam berpecah teruk kepada beberapa kumpulan besar.

“Perpecahan ini terjadi tidak lain hanyalah kerana wujudnya pelbagai kepentingan yang menguasai diri. Kumpulan pertama ialah Ahlu al-Qurra’ yang kemudiannya masyhur digelar Khawarij, satu kelompok yang berkepentingan diri, berjuang kerana mengharapkan imbuhan dan ganjaran.

“Kumpulan kedua adalah kelompok tentera dari Iraq yang ramai jumlahnya tetapi lompong perjuangan, bahkan mudah goyah cepat mengalah tatkala disogok tentera Mu’awiyyah. Kumpulan ketiga pula ialah orang-orang Ansar. Biarpun kecil sahaja bilangannya, namun tetap teguh di belakang Ali, walau diuji dengan harta,” katanya.

Asyraf menambah, Pemuda Umno perlu membuang jauh lagak seperti pejuang sejati tetapi rupanya pengkhianat yang meranapkan parti seperti yang terjadi dalam Perang Siffin.

“Ujian bermula tatkala Khalifah Ali akur untuk berunding menamatkan sengketa. Namun ditentang puak Khawarij. Mereka mula memberontak, mengadu domba cetus kesangsian terhadap kepimpinan Ali. Dengan slogan “Tidak ada hukum kecuali milik Allah”.

“Kononnya merekalah pejuang sejati menyatukan umat. Sebaliknya mereka inilah sebenarnya pengkhianat, bertopengkan agama dan retorik dengan madah berhelah, kononnya umat perlu bersatu kerana Allah, tetapi hakikatnya ‘pepat di luar rencong di dalam’.

“Apakah sejarah kini berulang kembali? Dinamika politik kini juga menyaksikan timbul watak-watak manusia seperti ini, penuh berkepentingan dan licik bermain wayang. Ditarik dia menanduk, digiring dia menyepak. Diberi sejengkal hendak sehasta. Diberi sehasta hendak sedepa. Diberi madu dibalas tuba. Diberi berkuku kita pula hendak dicengkamnya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here