Wanita Umno tuntut 30 peratus kuota calon PRU15

0
2

WANITA Umno mahu sekurang-kurangnya 30 peratus golongan itu diberi peluang untuk menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata,ini kerana Umno sebagai parti yang bangun dan berdiri atas sokongan wanita sejak 1946 mesti menjadi peneraju dalam merelisasikan agenda berkenaan.

“Parti ini bukan sahaja dibangunkan atas keringat dan perjuangan lelaki sahaja, tetapi juga air mata dan ‘gelang emas’ wanita Melayu.

“Siapa tidak kenal, Skuad Sayang yang tiada tandingannya. Tidak ada mana-mana gerakan yang sepantas Skuad Sayang. Turun, naik, redah, daki, dan namakan apa saja, demi rakyat, wanita kuburkan semua alasan,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Wanita Umno sempena PAU 2020 di PWTC hari ini.

Noraini berkata, Wanita Umno tidak menuntut harta benda mahupun pujian, sebaliknya menuntut agenda 30 peratus wanita dalam politik itu dilaksanakan.

“Justeru, saya meminta kepada kepimpinan parti untuk mempertimbangkan calon dalam kalangan wanita.

“Kami mempunyai calon yang layak untuk ditonjolkan sebagai wakil rakyat. Kita tidak mahu lagi dikenali sebagai kumpulan yang bergerak dibelakang tabir. Kita mahu lebih ramai Wanita diletakkan di barisan hadapan!,” katanya.

Noraini berkata, beliau memohon supaya Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertimbangkan permohonan itu kerana menyifatkan ahli Wanita Umno lebih setia terhadap parti

“Wanita-wanita ini setia, susah untuk lompat parti. Yang melompat ini majoritinya lelaki. Saya minta sangatlah kepada presiden parti, tengok-tengoklah wanita ini,” katanya.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan menghadapi PRU15, Noraini berkata, Wanita Umno harus bersedia seolah-olah pergerakan itu akan bertanding secara solo.

“Apa yang penting, saya ingatkan sekali lagi, kita tidak ada masa lagi untuk berbalah dan berpecah belah merebut jawatan, menjatuhkan kawan dan mensabotaj perjalanan parti. Tunggu seketika bab pemilihan parti. Kalau parti ini tewas lagi, apa guna menang tetapi parti semakin hilang di hati rakyat, lebih-lebih lagi ahli-ahli akar umbi.

“Saya percaya ini adalah Perhimpunan Agung Umno ini terakhir sebelum kita berhadapan PRU15. PRU15 ini adalah satu pertempuran yang sangat penting. Mother of all battles!,” katanya.

Beliau berkata, Umno perlu bersedia untuk memasuki medan perang, denagn mengambil kekuatan seolah-olah parti itu masih pembangkang.

“Kita harus bersedia dari segi mental bahawa kita berhadapan dengan keadaan yang serba kekurangan, terpaksa menggunakan sumber yang kecil dan terhad dalam pilihan raya akan datang.

“Sehubungan dengan itu, JR memerlukan perancangan strategik yang lengkap dan menyeluruh agar kita dapat menarik pengundi ini. Beberapa rangka kerja perlu diambil perhatian secara tuntas.

“Ini termasuklah memikirkan cara-cara terbaik dalam mencari pengundi, merayu undi, mengendalikan sistem yang ada, melengkapkan call centre, langkah baharu memancing pengundi luar dan apa jua sahaja cara dalam memastikan kita dapat undi untuk calon kita di Bahagian masing-masing,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here