
Nilam Oshman
“BERSATU umpama parasit, justeru Umno tidak akan bekerjasama dengan mereka, ‘No DAP, No PKR, No Bersatu’,” kata Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan.
Beliau berkata, hubungan Umno dengan Bersatu hanyalah sehingga Parlimen ini dibubarkan dan tiada sebarang kerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Keputusan parti mesti dihormati, prinsip parti menguasai kerajaan mesti dipertahankan.
“Kita turut bersetuju sebahagian dari kita mengganggotai Kabinet, kita bangga sewaktu perang melawan Covid-19 Menteri-menteri kita dari Umno melaksanakan tugas mereka dengan baik dan berkesan dari penjagaan kesihatan, keselamatan sehinggalah urusan vaksin.
“Kita mahu mereka bukan saja menjadi penyumbang kepada negara bahkan dinaikkan martabat yang lebih tinggi. Syaratnya kerajaan yang memerintah mestilah diterajui oleh Umno dan Barisan Nasional,” katanya dalam ucapan dasar Ketua Puteri Umno sempena PAU di PWTC, hari ini.
Beliau berkata, Umno parti besar mesti menjadi pemain utama dalam menentukan dasar dan masa depan negara.
“Umno tidak mahu sekadar di pentas yang sama tetapi hanya penyanyi latar.
“Ini adalah matlamat dan asas kita dalam hubungan parti kita dengan parti-parti lain tetapi (ada sebahagian) mereka yang sememangnya diasaskan untuk memusnahkan kita, merampas kerusi-kerusi, yang pemerintahan diperolehi bukan dari proses demokrasi yang betul tetapi menerima mereka yang berpaling tadah.
“Dengan mencuri pemimpin dan ahli-ahli kita dan terus berusaha mengambil pengerak-pengerak akar umbi termasuk di kampung- kampung.
“Tindakan seperti ini bukanlah tindakan kawan tetapi itu adalah perangai lawan,” katanya.
Zahida menyifatkan Bersatu seperti tumbuh dari benih tersisih dari pokok asal Umno.
“Bersatu hidup hanya mendapatkan baja dari DAP dan PKR sebab itu orang Bersatu yang tulen tidak heboh pasal ‘No DAP, No PKR’ sebab kerusi asal yang mereka menang pun atas ihsan DAP dan PKR.
“Bagi kita ‘No DAP, No PKR’, it’s done deal.. tidak boleh dipertikaikan.. setuju 100 peratus cuma kita nak tambah satu lagi ‘No DAP, No PKR, dan No Bersatu’.
“Sebab kita tahu tujuan asal Bersatu memang untuk musnahkan kita (Umno) cuma sekarang mereka kehilangan baja dan sangat mengharapkan Umno jadi baja untuk mereka hidup subur kembali.
“Apakah kita perlu menjadi baja kepada pokok yang terlalu parasit, yang menumpang kita dan kita tahu pasti akan membunuh kita di masa depan,” ujarnya. -Malaysiapost
