PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sedang meneliti untuk membenarkan pergerakan rentas negeri bagi sambutan Aidilfitri nanti.
Perdana Menteri berkata, pengumuman akan dibuat sebaik semua data berkaitan dianalisis oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara.
“Buat masa ini rentas negeri untuk Aidilfitri kerajaan masih belum dapat beri jawapan lagi.
“Kita akan teliti dan diumumkan apabila tiba masanya nanti,” katanya ketika bersarapan pagi bersama masyarakat di Warung Noorizwan, Felcra Bukit Kepong, Pagoh, hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin turut merasmikan premis dan trak makanan Fani Soy, milik sebuah syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bumiputera yang mengeluarkan produk berasaskan kacang soya di FELCRA Bukit Kepong di Labis, Johor.
Ketibaan Muhyiddin bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, di FN Maju Enterprise pada kira-kira jam 9 pagi disambut oleh pemilik syarikat itu Noraini Ismail bersama suami Mohd Fazri Mohd Saimi.
Muhyiddin dan Noorainee kemudian diberikan penerangan mengenai operasi syarikat selain turut mencuba satu daripada produk keluaran syarikat berkenaan iaitu tau fu fa berperisa pandan. – Malaysiapost

