Bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru kembali Ramadan ini

0
3

Nilam Oshman

BUBUR lambuk Masjid Jamek Kampung Baru akan kembali pada Ramadan ini sekali gus pasti mengubati rindu orang ramai, selepas tiada aktiviti pengagihan bubur legenda berkenaan pada tahun lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Imam Masjid Jamek Kampung Baru, Azizi Ab Hamid ketika mengesahkan perkara itu meluahkan rasa syukur kerana penyediaan bubur lambuk dapat dilaksanakan semula bermula 13 April hingga 12 Mei ini.

“Alhamdulillah, syukur… untuk pengetahuan semua, tahun ini masjid Jamek Kampung Baru akan melaksanakan kembali hidangan atau menu tradisi yang berusia berpuluh tahun iaitu bubur lambuk.

“Yang mana kita lihat bukan sahaja terkenal di Kuala Lumpur, malah seluruh negara. Tetapi disebabkan wabak Covid-19 ini maka tahun lepas tertulisnya sejarah, tiada pelaksanaan bubur lambuk pada bulan Ramadan,” katanya kepada Malaysiapost.

Beliau berkata, pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), telah memberi kebenaran kepada pihak Masjid Jamek Kampung Baru melaksanakan program bubur lambuk, dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Cuma paling penting sekarang ini SOP bukan dari segi penyediaan tapi pengagihan itu. Kita risau orang ramai akan berkerumun sebab tahun lepas tak ada, jadi kita akan minta bantuan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis untuk memantau,” katanya.

Jelas beliau, pihak pengurusan masjid telah membuat keputusan untuk menyediakan seperti biasa iaitu 15 periuk bersamaan 3,000 bungkus bubur lambuk sehari.

Kredit Foto: Bernama

“Insya-Allah, perkara ini telah ditetapkan oleh pengurusan masjid, ia akan disediakan seperti tahun-tahun sebelum ini, iaitu 15 periuk besar setiap hari. Jadi, satu periuk boleh dapat lebih kurang 250 bungkus.

“Sekiranya ada tajaan dari mana-mana pihak mungkin kita akan tambah lebih dari 15 periuk,” katanya sambil memaklumkan pengagihan bubur lambuk akan dimulakan selepas solat asar di masjid berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here