Umno perlu menjadi Liverpool, bukan sekadar pemain kedua

0
1

Aiman Hanif

TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata Umno perlu menjadi Liverpool yang menjuarai liga Inggeris dan bukannya sekadar pemain simpanan.

Secara seloroh dan berkias dengan mengaitkan Liverpool, Mohamad ataupun lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata Umno perlu menjadi induk dalam menerajui kerajaan.

“Kita tak nak jadi pemain simpanan, kita nak jadi Liverpool untuk menguasai liga Inggeris. ‘U will never walk alone’.

“Yang penting, mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan kita, mesti meyakini kemampuan Umno, untuk menjadi pengemudi induk.

“Bukan pemain kedua, yang sekadar dikutip, untuk memenuhi kuota, atau bilangan kerusi yang diperlukan,” katanya ketika perasamian serentak sayap parti Umno di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama pada perasamian itu tiga Naib Presiden Umno dan ketua kepada ketiga-tiga sayap parti itu.

Mohamad berkata tidak ada mana-mana pihak ataupun individu, yang boleh memberitahu, atau mengarahkan Umno tentang bagaimana dan dengan siapa parti itu harus berunding untuk membentuk sebuah kerajaan.

Katanya, biarlah Umno memilih untuk memperlihatkan kekuatan sebenarnya sebagai parti politik dengan keunggulan tersendiri tanpa mengorbankan kepentingan strategiknya.

“Dan ini bermakna, Umno tidak akan memperjudikan mana-mana kerusi Umno. Kerusi Umno adalah kerusi Umno, dahulu, kini dan selamanya. Ia bukan untuk dilepaskan, demi memberi talian hayat kepada mana-mana pihak.

“Jangan ada yang cuba untuk mengilas tangan Umno. Kita tidak akan mengalah. Kita tidak akan melatah.

“Umno tidak akan terpedaya, dengan retorik kepentingan ummah, dan perpaduan Melayu, yang dibuat-buat. Perpaduan ummah dan penyatuan Melayu, mesti dipimpin oleh Umno,” katanya lagi.- Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here