PAS menyokong langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguh pelaksanaan Undi 18 sehingga September tahun depan.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu melihat kepada keperluan dan kelayakan mengundi dinilai menerusi kematangan, bukannya had umur semata-mata.
“Kita setuju (penangguhan SPR berkaitan Undi18). Undi bergantung kepada kematangan, jangan undi 18 tahun sahaja, mestilah ada kematangan.
“Kita tidak boleh terpengaruh dengan barat. Kematangan boleh berlaku pada usia 16 tahun, 18 tahun, 25 tahun pun ada.
“Orang (berusia) 40 tahun tidak matang lagi pun ada. Tetapi malangnya kita berpandukan kepada konsep demokrasi barat, pada umur bukan kematangan,” katanya dalam sidang media yang disiarkan di Facebook, hari ini.
Ditanya adakah PAS terkesan dengan keputusan SPR itu, Abdul Hadi berkata, parti itu tidak akan terkesan dan menegaskan bahawa kematangan lebih penting berbanding umur sebagai kelayakan untuk menjadi pengundi.
“Yang penting, kita mahu rakyat yang matang memilih kerajaan yang matang. Kalau rakyat mentah, pilih kerajaan juga mentah. Kematangan penting,” katanya.
Semalam, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, pendaftaran pengundi 18 tahun secara automatik dijangka ditangguhkan sehingga selepas September 2022.
SPR memberi alasan sekatan pergerakan yang dilaksanakan susulan pandemik Covid-19 mengganggu persiapan untuk melaksanakan dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Julai 2019.

