PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) 2020 wajar digunakan bagi membicara pelbagai isu berkepentingan nasional kerana ia adalah peranan hakiki Umno dalam politik bangsa.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Umno berperanan mengemukakan idea termaju untuk memperbaiki kedudukan bangsa dan negara.
“Umno akan mengadakan perhimpunan agungnya pada hujung minggu ini. Pelbagai ulasan, telahan dan komentar tentang apa yang akan berlaku dalam persidangan itu telah diterbitkan dalam pelbagai saluran media.
“Demikianlah pentingnya Umno kepada politik dan masa depan Malaysia. Apa yang akan dibicara, ditegur, dibincang dan diusulkan sangat mempengaruhi perjalanan negara dan bangsa Malaysia.
“Oleh itu sangatlah penting kepada semua perwakilan menyedari ini. Bahawa usul, pembicaraan serta kupasan idea mereka, akan menjadi intipati penting dalam menyelesaikan segala kekusutan dalam masyarakat dan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau menyeru agar perbahasan dijalankan dengan rasional dan matang serta mengemukakan kecerdasan baru dan menyuarakan segala permasalahan rakyat dengan sebaiknya.
Menurutnya, selepas menjadi sebahagian daripada kerajaan, Umno mesti menggunakan peluang untuk membahaskan pelbagai isu rakyat, serta mengetengahkan dasar yang pincang dan memperincikan dasar lebih baik mesti diutamakan.
“Ini kerana Umno wajar memainkan peranannya sebagai ‘the Malay braintrust’. Ia mesti tampil dan mengemukakan solusi nasional terhadap pelbagai kemaslahatan Malaysia,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, PAU juga mesti menjadi medan perwakilan membahaskan jalan ke hadapan untuk Umno kembali memerintah, bukan ruang untuk menggugat perpaduan parti atau mencerca sesiapa jua.
“Teguran, kritikan dan apa jua saranan kita, haruslah dalam semangat membangunkan keunggulan Umno dan bukan melebarkan lagi kepuak-puakkan dan melemahkan kesatuan.
“Umno mesti berada dalam kedudukan ‘utuh’ untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan memerintah semula. Kerencaman berparti tidak boleh mengatasi ‘Umno’s higher purpose’ iaitu menjadi pengemudi kepada kemajuan Malaysia,” katanya.
Beliau turut mengingatkan, apa jua yang diputuskan perwakilan nanti, mestilah dihormati kerana tiada individu, suara dan pengaruh lebih besar dan gah dari muafakat dan konsensus akar umbi Umno, selain disiplin dan tata kelola parti mesti diamalkan dan tersemat di hati.
“Usia Umno tahun ini 75 tahun. Ia lebih tua dari Malaysia sebagai sebuah negara. Umno mesti dewasa sesuai usianya. Pembawaannya mesti dewasa, pendiriannya mesti berhikmah dan kewibawaannya mesti sematang usianya insya-Allah.
“Selamat bersidang Umno dan perwakilannya,” katanya. – Malaysiapost

