Wanita diminta ‘ingat anak’ ketika cuba terjun dari tingkat enam

0
3

“KETIKA itu cuma risau jika betul dia nekad untuk terjun dan bimbang perkara tidak elok berlaku, saya terus menghubungi pihak bomba minta bantuan.”

Begitulah kata saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Nadia, 31, ketika menceritakan detik cemas seorang wanita cuba terjun dari pangsapuri di Pertam Jaya, di Melaka, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, wanita berusia 29 tahun yang juga penghuni pangsapuri berkenaan, dikatakan cuba membunuh diri dengan berdiri di luar balkoni unit kediamannya di tingkat enam.

Nadia yang juga penghuni di pangsapuri itu berkata, dia yang ketika itu berada dalam rumah hadapan blok kediaman wanita terbabit, terdengar bunyi bising sebelum menjenguk ke arah luar.

“Sebaik buka pintu dan menjengah keluar, saya lihat wanita itu sudah berdiri di luar balkoni rumahnya dengan berpegang pada penghadang besi.

“Manakala seorang lelaki yang berada di tingkat bawah menjerit “minta tolong” serta turut menyatakan “ingat anak” beberapa kali,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Ujar Nadia, ketika itu belum ada penghuni menyedari kejadian berkenaan, bagaimanapun tidak lama kemudian beberapa individu mula kelihatan dan turut cuba menenangkan wanita terbabit.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penolong Penguasa Bomba Soon Wee Kiang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.14 tengah hari.

Katanya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu dan Bukit Katil bersama lapan anggota termasuk komander operasi bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami dapati ada seorang wanita cuba terjun dari bangunan dan usaha memujuk mangsa dijalankan. Pasukan bomba mengalami kesulitan apabila pintu rumahnya terkunci.

“Bagi mengelakkan sebarang kemungkinan dan langkah berjaga-jaga dengan dibantu orang awam, kanvas dibentangkan sebelum mangsa berjaya diselamatkan pada jam 2.46 petang,” katanya.

Menurut Wee Kiang, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/03/16/remaja-perempuan-cuba-terjun-jambatan-selepas-dilarang-main-game/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here