Keberadaan Umno dalam masyarakat perlu digilap – Tok Mat

0
2

Nurul Huda Abhar

HALA tuju Umno kini adalah terus memperkasa parti dan menyusun strategi untuk menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dua hala tuju itu perlu dititik berat oleh semua peringkat dalam parti.

“Alhamdullillah dari semasa ke semasa kita memasang strategi untuk Umno kembali semula menang pada PRU15.

“Usaha memperkasakan parti sentiasa kita adakan. Parti sentiasa mengadakan apa yang kita asaskan daripada amal bakti. Umno amat sinonim dengan amal bakti.

“Walaupun kita kalah, orang akan terus mencari kita. Di negeri-negeri, contoh Negeri Sembilan orang masih mencari Umno kalau rumah terbakar, anak-anak masuk universiti yang dicari adalah Umno,” katanya dalam temubual bersama Umno-Online, malam ini.

Program itu turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live dan dikendalikan Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid sebagai moderator.

Sementara itu, Mohamad berkata, Umno juga bertindak sebagai peneraju kerajaan Barisan Nasional (BN) dan imej tersebut perlu digilap semula.

Jelasnya, imej amal bakti yang diumpamakan sebagai ‘berlian’ perlu dipelihara agar kekal berharga untuk masyarakat.

“Berlian tak kira kecil macam mana pun, kalau dia berkilat memang akan berharga. Jadi keberadaan Umno dalam masyarakat itu kita kena gilap.

“Dalam masa sama, jangan lupa kita sebagai parti, tujuan asas kita untuk menubuhkan kerajaan. Macam mana nak tubuhkan kerajaan? Mesti menang PRU. Macam mana nak menang? Orang mesti undi kita. Macam mana nak orang suka? Jadi buatlah kerja-kerja untuk orang sukakan kita,” katanya lagi.

Mengulas berkenaan releven atau tidak keberadaan Umno dalam kerajaan kini, beliau berkata, semua itu bergantung kepada usaha semua peringkat dalam parti.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, sehingga kini masyarakat masih memerlukan Umno, maka terpulang kepada parti untuk membawanya dari sudut positif atau negatif.

“Terpulang pada kita untuk membawa hala tuju parti. Orang masih ikuti dan nak tahu perkembangan Umno, apa halatuju Umno. Sebenarnya itu adalah perkara sangat positif bagi saya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here