Nurul Huda Abhar
BERMULA 1 Januari 2021 sehingga hari ini, terdapat sebanyak 15 kluster pusat pengajian tinggi, 11 kluster sekolah menengah, 10 kluster pra-sekolah dan sekolah rendah, serta lima kluster yang melibatkan pusat tahfiz dan madrasah telah dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Ia termasuk tiga kluster baharu yang diumumkan pada hari ini iaitu Kluster Paloh Rambai, Kluster Merinding, dan Kluster Persiaran Maktab.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM menyambut baik komitmen Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memastikan para pelajar tidak ketinggalan dan dapat mengikuti pembelajaran secara berterusan dalam keadaan yang selamat.
“Oleh itu KKM ingin mengingatkan semua pihak terutamanya para pentadbir, para guru, ibu bapa atau penjaga, pengusaha kantin, pemandu kenderaan sekolah, serta para pelajar untuk sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, KKM dengan kerjasama KPM akan sentiasa memastikan aspek kesihatan serta keselamatan warga institusi pendidikan terus diutamakan.
Menurut beliau, kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan institusi pendidikan adalah kondusif dan selamat untuk pengajian.
“Ini akan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dan juga lain-lain jangkitan,” ujarnya lagi.
Bermula 20 Januari 2021, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan pembukaan semula institusi pendidikan secara bersemuka bagi para pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), termasuk Murid Berkeperluan Khas (MBK) secara berfasa.
Pada 1 Mac lalu, pembukaan itu diperluaskan kepada sekolah rendah dan pra-sekolah. – Malaysiapost

