Reezal Merican imbau kemeriahan PAU

0
2

PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) sememangnya medan perhimpunan ditunggu-tunggu segenap ahli Umno dan diadakan dengan penuh meriah sebelum ini.

Mengimbau kemeriahan PAU, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata perhimpunan itu menjadi pertemuan orang Melayu terbesar pada setiap tahun bagi berbincang, berbahas mengenai hala tuju bangsa, malah ada masanya mengadu keluh-kesah, gundah gulana hingga ke peringkat akar umbi.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata semasa PAU juga dapat dilihat kemeriahan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), suasana gamat, gelak tawa para ahli dan perwakilan yang bertemu.

“Di sinilah persaudaraan dan persahabatan terus dijalinkan, baik yang muda mahupun yang lebih senior.

“Aktiviti jualan oleh usahawan juga tidak kurang meriahnya. Saya ingat lagi, pasti akan singgah untuk membeli songket atau kain batik hasil tenunan orang kita. Tawar-menawar sampai jadi, orang kata.

“Saya rindu suasana PAU sebegitu. Kini suasana sudah berubah akibat penularan Covid-19. Tiada lagi kemeriahan seperti dahulu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, kini ada protokol dan prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang perlu dipatuhi untuk pastikan wabak Covid-19 tidak terus menular di dalam komuniti.

Menurutnya, apa yang penting, PAU akan terus menjadi medan untuk Umno mara bersama.

“Secara fizikal mahupun maya, Umno tetap sebuah parti yang mengangkat suara rakyat.

“Umno tetap sebuah parti kukuh dengan dokongan akar umbi yang tidak pernah lari dari neraca perjuangan.

“Insya-Allah, Umno akan terus mara untuk rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here