YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan setinggi penghargaan kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Hari Polis ke-214 hari ini.
Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan itu atas khidmat bakti, komitmen dan pengorbanan dipamerkan PDRM dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan negara serta ketenteraman awam terus terjamin.
Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan setinggi penghargaan dan rasa bangga kepada seluruh warga PDRM di atas pengorbanan dicurahkan tanpa mengira penat lelah dan masa sebagai petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak Covid-19 sejak dari tahun lalu.
“Semoga warga PDRM akan terus kental dan bersemangat memberi khidmat demi menjaga kedaulatan, keselamatan, kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia.
“Seri Paduka Baginda mendoakan agar seluruh warga PDRM dirahmati dan dilindungi Allah SWT dari segala bentuk ancaman dan musibah serta para pahlawan negara yang telah terkorban ditempatkan bersama para solihin,” titah Baginda menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook Istana Negara. – Malaysiapost

