JAIJ jadi pemerhati rayuan kes kalimah Allah

0
2

SEBAGAI tanda menyokong kerajaan pusat yang memfailkan rayuan berkaitan isu penggunaan kalimah Allah, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ) dijangka akan menjadi pemerhati dalam prosiding rayuan. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Tosrin Jarvanthi berkata, Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad akan mewakili JAIJ sebagai pemerhati dalam prosiding rayuan itu.

“JAIJ bersedia membantu mana-mana pihak di peringkat pusat bagi membolehkan mencari penyelesaian terbaik dalam perkara berkenaan.

“Masyarakat Islam diminta bersabar dan tidak membuat andaian dan keputusan tersendiri dalam isu berkenaan kerana ia membabitkan sensitiviti kaum,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengambil tindakan yang perlu dan wajar bagi menyokong usaha kerajaan persekutuan yang memfailkan rayuan berhubung isu penggunaan kalimah Allah pada 18 Mac lalu.

Kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 15 Mac lalu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan penganut agama Kristian bagi tujuan pendidikan.

Terdahulu, Tosrin menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Amal Mariah Perbadanan Islam Johor (PIJ) di Dewan Serbaguna Felda Taib Andak di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor, Abdul ‘Alim Abd Shukor.

Sebanyak 97 sekolah di Kulai menerima sumbangan botol cecair pembasmi kuman dan kertas A4 bernilai keseluruhan RM50,000.

Sumbangan berkenaan bertujuan membantu proses pengajaran dan pembelajaran serta kebersihan warga sekolah dalam menangani penularan Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here