Kit Siang gesa parti politik beri jaminan tiada usul undi tak percaya PM

0
2

DAP menggesa semua parti politik memberi jaminan tidak membuat usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi membolehkan Dewan Rakyat kembali bersidang.

Pemimpin Veteran DAP, Lim Kit Siang, berkata sidang Parlimen penting bagi memberi tumpuan kepada usaha melawan wabak Covid-19 selain penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung intergriti dan profesionalisme Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Marilah semua parti politik dan ahli Parlimen bersetuju untuk memastikan tidak ada sebarang usul tidak percaya semasa darurat ini.

“Ini supaya Parlimen boleh fokus hanya kepada usaha melawan Covid-19, dengan memastikan terdapat usaha melibatkan ‘keseluruhan kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyarakat’ dengan menggemblengkan usaha daripada individu-individu dan NGO agar negara dapat mencatatkan prestasi yang lebih baik dalam mengawal wabak ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kit Siang berkata, Malaysia masih termasuk dalam antara negara dengan prestasi terburuk menangani Covid-19 di Asia Timur dan Asia Tenggara, walau tidak seteruk Amerika Syarikat, Brazil dan India dari segi jumlah keseluruhan kes.

“Gelombang ketiga wabak ini telah berterusan selama tujuh bulan sejak daripada PRN Sabah pada September tahun lalu dan sekarang kita masih gagal mengawal gelombang penularan ini untuk kembali ke kadar kes harian harian dua atau tiga angka,” katanya.

Belaiu berkata, Kabinet perlu mendengar titah Yang di-Pertuan Agong berhubung sidang Parlimen ketika darurat, dan seterusnya menasihati baginda untuk mengadakan sidang parlimen.

Katanya, ia memandangkan perdana menteri telah menerima vaksin dan akan disusuli semua menteri dan ahli Parlimen.

Dalam pada itu, Kit Siang berkata, dakwaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkenaan ‘kartel’ dalam PDRM perlu dipandang serius.

“Kabinet tidak boleh mengabaikan pendedahan Abdul Hamid…dan juga isu mengenai masalah rasuah dan profesionalisme dalam pasukan polis, untuk membolehkan pasukan polis kita menjadi yang terbaik di dunia.

“Adakah kabinet akan berjaya untuk menyelesaikan masalah ini atau terus menjadi kegagalan walaupun sebagai Kabinet terbesar dalam sejarah negara?” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here