Malaysia, Singapura perhalusi pengiktirafan sijil vaksinasi Covid-19

0
2

MALAYSIA dan Singapura akan memperhalusi usaha ke arah pengiktirafan sijil vaksinasi Covid-19 bagi mempermudah perjalanan merentas sempadan rakyat kedua-dua negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata perkara itu telah mencapai kata sepakat hasil pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan di Putrajaya, hari ini.

Katanya, kedua-dua negara akan terus memperkasa pelaksanaan program vaksinasi di negara masing-masing dengan memastikan pemberian vaksin kepada rakyat Malaysia yang tinggal di Singapura dan rakyat Singapura yang tinggal di Malaysia.

Selain itu, katanya, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk memulakan pergerakan antara sempadan secara berperingkat seperti Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

“Memulakan semula serta meluaskan pelaksanaan Skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) untuk tujuan yang lebih pelbagai apabila situasi mengizinkan dengan mengambil kira keadaan Covid-19 di kedua-dua negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Hasil pertemuan itu, Hishammuddin turut melahirkan perasaan gembira dan membuktikan keakraban dua buah negara yang dipisahkan oleh Selat Tebrau itu.

“Lebih bermakna, saya dan TYT Vivian turut senada, memperakui keakraban hubungan kedua-dua negara yang telah terjalin sekian lama.

“Perkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang dalam usaha menangani cabaran pandemik Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here