Kartel PDRM: Saya bukan nak lobi sambung kontrak KPN – Hamid Bador

0
1

KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menafikan pendedahannya mengenai ‘Kartel PDRM’ mempunyai kaitan dalam usaha memperbaharui khidmatnya yang akan tamat Mei ini.

Malah menurutnya, tidak terdetik di sanubarinya berniat begitu, kerana tindakan untuk mendedahkan perkara tersebut demi kebaikan PDRM masa hadapan.

“Semua kena faham, saya bukan mendedahkan perkara ini sekarang untuk melobi penyambungan kontrak sebagai KPN.

“Selepas menggantung baju biru ini, saya akan jadi pekebun kerana itu impian lama saya. Ini bukan untuk ‘test market’ bagi melanjutkan kontrak saya (tamat Mei ini), saya hanya manusia biasa yang ada maruah diri.

“Saya manusia biasa yang diberi tanggungjawab untuk mengemudi PDRM ke arah kecemerlangan di mata dunia, jadi saya berdiri di sini untuk menjelaskan kebenaran,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Abdul Hamid bagaimanapun belum mahu mendedahkan nama pegawai yang terlibat kerana situasi masih terkawal dan boleh ditangani.

“Saya mempunyai senarai nama pegawai dan anggota yang terlibat kartel PDRM tetapi tidak akan mendedahkannya.

“Saya ada maklumat sahih mengenai identiti kesemua pegawai yang berkomplot mencemarkan imej saya dalam PDRM.

“Saya mendedahkan isu ini sekarang kerana saya mahu mereka tahu bahawa saya sedia maklum segala yang sedang berlaku,” katanya.

Baru-baru ini, Abdul Hamid dilaporkan berkata sekumpulan polis muda membentuk kartel untuk untuk mendominasi pasukan itu bagi menjatuhkannya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahannya sebelum ini bahawa segelintir pegawai kanan di peringkat pertengahan juga terlibat dengan kartel.

Jelas Abdul Hamid, kartel itu akan memastikan rakan subahat mereka dinaikkan pangkat seterusnya mendominasi pucuk pimpinan tertinggi polis pada masa depan. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/22/kartel-pdrm-saya-cabar-mereka-kpn/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here