SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mencadangkan kerajaan negeri menghidupkan semula Pasukan Johor Volunteer Forces (JVF), yang pernah ditubuhkan oleh Almarhum Sultan Ibrahim pada tahun 1905.
Baginda bertitah sebagai langkah permulaan, semua Pegawai Tadbir Negeri Johor perlulah diserapkan di bawah JVF dan diberi latihan asas ketenteraan bersama Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF).
“Ini bertujuan menambah kecergasan dan memperkasa disiplin pegawai-pegawai kerajaan.
“Sehubungan itu juga, Pegawai JCS boleh memakai uniform JVF semasa bertugas atau menghadiri majlis-majlis bersesuaian. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan imej dan penampilan Pegawai-Pegawai JCS,” titah baginda menerusi berita yang dimuat naik di Facebooknya.
Sultan Johor bertitah demikian pada Majlis Pelancaran Akademi JCS dan Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Kerjasama di PERSADA, Johor Bahru sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda hari ini.
Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
Sementara itu, Sultan Ibrahim bertitah penubuhan Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (Akademi JCS) merupakan satu langkah strategik untuk meningkatkan kecekapan pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri Johor.
Selain memberikan ilmu baharu, baginda bertitah, Akademi JCS harus memberi pendedahan dan pengajaran mengenai kes-kes mahkamah yang merugikan kerajaan disebabkan tindakan dan keputusan silap, serta perjanjian berat sebelah supaya kesilapan yang dibuat tidak berulang kembali.
“Saya berharap Akademi ini akan menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan dan peningkatan mutu perkhidmatan awam Negeri Johor.
“Penubuhan Akademi JCS ini tepat pada masanya. Ia perlu berfungsi sebagai sebuah badan perkembangan ilmu untuk melahirkan kakitangan kerajaan yang mahir dalam bidang pengurusan dan pembentukan dasar negeri,” titah Tuanku Sultan.
Baginda bertitah melalui jalinan kerjasama dengan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta badan-badan professional, diharapkan Akademi JCS akan memberi nilai tambah kepada peningkatan ilmu pengetahuan dan perkongsian pengalaman dalam pelbagai bidang.
“Oleh itu, saya menggesa semua supaya mengambil peluang yang ada untuk menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian kepada rakyat,” titah baginda. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/20/sultan-johor-pencinta-kucing-rupanya/

