PEMUDA Umno mahu projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) digantung sementara agar siasatan menyeluruh kes gantri kren jatuh yang mengorbankan tiga nyawa, dapat dijalankan.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata desakan itu dibuat susulan seorang rakan Facebooknya menggunakan nama Jejai Adli menghantar mesej meminta Pemuda Umno untuk membantu berkongsi masalah dihadapi pengguna jalan raya yang melalui laluan berkenaan.
“Mohon pihak Berkuasa ambil serius aduan beliau. Saya percaya ramai lagi yang berkongsi keresahan yang serupa. Ini soal keselamatan dan nyawa masyarakat yang tidak boleh dipandang enteng.
“Saya menyarankan digantung seketika projek tersebut bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan,” katanya menerusi Facebook.
Asyraf Wajdi berkata, beliau dimaklumkan kelmarin oleh bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang turut berkongsi pengalaman dipertanggungjawabkan mengawasi isu keselamatan projek pembinaan infrastruktur yang melibatkan pengangkutan awam.
“Cuma dalam konteks pembinaan lebuhraya seperti ini, rakyat perlu tahu sama ada agensi yang dipertanggungjawabkan benar-benar berperanan mengawasi aspek keselamatan kerja-kerja pembangunan agar tidak memudaratkan rakyat,” katanya.
Sebelum itu, menerusi Facebook Jejai Adli, meluahkan kerisauan terhadap kemalangan tersebut yang akan berulang kepada orang awam jika tidak menitikberatkan isu keselamatan.
“Wahai DBKL, CIDB Malaysia, Jabatan Kerja Raya Malaysia ( Public Works Department ) , Department of Occupational Safety and Health, saya dan ibu bapa lain akan melalui jalan ini setiap pagi dan petang.
“Sebenarnya pihak contractor bg pembinaan SUKE di fasa Alam Damai ni mmg sgt tidak menitik beratkan keselamatan pengguna jalanraya. Sepanjang dua tahun projek ini banyak kemalangan kecil berlaku salah satunya bancuhan simen jatuh kat atas kenderaan dan kren kecil tumbang…laluan diwaktu malam pula tidak berlampu kalau ada pun lampu tu macam beli kat pasar pudu.
“Sewajarnya pihak yg berkenaan memantau kadar kecerahan (lux) lampu yang sepatutnya ada di tapak bina. Kon barrier pula kalau hujan berterabur dibawa air, masa mula-mula projek ini pun tiada net disetiap tiang (dah kena maki baru pasang) traffic control plak kadang-kadang tak bwk flag dan cuma tahan pakai tangan saja,” katanya.
Katanya, di kawasan berkenaan ada dua buah sekolah dan van sekolah akan melalui jalan tersebut pada waktu puncak antara jam 12 tengah hari hingga 3 petang.
“Tak boleh ke DBKL, JKR CIDB beri arahan pada pemaju untuk berhenti kerja pada waktu kemuncak?? takkan nak tunggu tiang jatuh atas van sekolah baru semua nak melompat?
“Yang jaga jalan warga asing, pekerja warga asing, traffic contorl warga asing, safety officer warga asing dan serba serbi warga asing, paling membimbangkan ‘lifting procedure’ ada dilakukan ketika trafik sedang sesak.
“Korang tu sekolah tinggi gaji tinggi yaaa amat tapi tak kan lahhh tak bole pikir pasal benda-benda ni… keselamatan ni memang orang tak suka tapi kalau tak ikut akan banyak nyawa yg melayang,” luahnya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

