Risteena nafi salah guna kebenaran rentas negeri pergi bulan madu

0
2

PELAKON Risteena Munim, 31, menafikan dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) larangan rentas negeri untuk berbulan madu di Sabah bersama suaminya, Isa Khan.

Menurut Risteena, tujuannya ke negeri itu atas urusan kerja dan sudah memohon kebenaran daripada pihak berkuasa bagi perjalanan tersebut.

Menerusi perkongsian di laman Instagramnya, pelakon itu menjelaskan salah faham yang timbul berhubung dengan perjalanannya ke Sabah,

“Berita yang keluar pun mengundang salah faham betul. Kami di Sabah atas urusan kerja dan telah dapatkan surat untuk merentas negeri untuk tujuan kerja.

“Saya yakin pihak polis lebih arif,” katanya dalam hantaran tersebut, sebentar tadi.

Nama Risteena dan Isa menjadi perbualan hari ini kerana didakwa sedang menikmati bulan madu di Semporna, Sabah berdasarkan perkongsian dikongsi di Insta Story mereka.

Netizen mempersoalkan bagaimana Risteena boleh berbulan madu di Sabah sedangkan kerajaan masih melarang sebarang pergerakan rentas negeri bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pada masa sama, hari ini juga media melaporkan pasangan ‘instafamous’ didakwa atas kesalahan menyalahguna kebenaran rentas negeri yang dikeluarkan polis bagi tujuan berbulan madu.

Sementara itu, Risteena berkata tidak perlu membuat penjelasan terperinci berkaitan urusannya di media sosial.

“Jadi saya fikir tak perlu muat naik gambar kerja saya di Instagram untuk puaskan hati semua orang

“Saya hanya kongsi apa saya nak kongsi. Harap semua pihak tidak membuat spekulasi,” ujarnya.

Risteena dan Isa baharu sahaja bernikah pada 12 Mac lalu. Sebelum itu, Isa mengumumkan sudah melamar Risteena pada 23 November 2019 sewaktu bercuti di Bali, Indonesia. – Malaysiapost

Artikel berkaitan : https://malaysiapost.com.my/2021/03/12/ristneena-isa-khan-sah-bergelar-suami-isteri/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here