Pertembungan PAS-Umno di Terengganu tak berlaku jika MN diperkasa

0
2

Nurul Huda Abhar 

PERTEMBUNGAN antara PAS dan Umno di Terengganu hampir pasti tidak akan berlaku, sekiranya usaha memperkasakan Muafakat Nasional (MN) diteruskan. 

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata oleh yang demikian seluruh pendukung PAS dan Umno di seluruh negara tidak perlu bimbang dengan perkembangan semasa MN pada masa kini. 

Beliau berkata, semalam telah tular video ucapan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pemudanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kepada jentera parti mereka di Terengganu sehingga menimbulkan keresahan kedua-dua pendukung PAS dan Umno. 

Katanya, penularan ucapan kedua-dua pemimpin Umno itu telah dipergunakan oleh pihak tertentu untuk mengganggu gugat hubungan kedua-dua parti di dalam MN. 

“Setelah saya meneliti ucapan kedua-dua pemimpin Umno ini, saya boleh menyimpulkan bahawa ucapan kedua-dua mereka hanyalah bersifat hipotetikal. 

“Mereka hanya membuat andaian sekiranya hubungan PAS dan Umno di dalam MN terputus di tengah jalan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), maka tidak dapat dielakkan pertembungan antara PAS dan Umno akan berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Mohd Zuhdi berkata, jika mimpi ngeri terbubarnya MN berlaku kepada kedua-dua parti di dalam MN, pertembungan antara PAS dan Umno turut boleh berlaku di negeri-negeri yang lain. 

Bagaimanapun, katanya, realiti sebenarnya yang berlaku hubungan PAS dan Umno di dalam MN semakin kukuh. 

Malah, jelasnya lagi, Asyraf Wajdi sendiri berada di dalam taskforce bersama beliau serta beberapa pimpinan PAS dan Umno lain, yang dipertanggungjawabkan untuk merancang agenda untuk memperkasa MN. 

“Oleh yang demikian saya amat yakin Umno konsisten mendukung agenda Penyatuan Ummah yang menjadi teras MN,” ujarnya. – Malaysiapost 

Artikel berkaitan :  https://malaysiapost.com.my/2021/03/22/umno-pas-selangor-komited-jayakan-piagam-muafakat-nasional/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here