Semak imbang kerajaan penting demi rakyat – Isham Jalil

0
2
isham jalil

KERAJAAN yang tidak boleh ditegur bukanlah kerajaan yang baik, kerana teguran penting supaya prestasi perkhidmatan awam sentiasa ditingkatkan, kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.

Menurutnya, beberapa kritikannya terhadap kerajaan Selangor termasuk membabitkan isu air sebelum ini adalah bertujuan semak dan imbang.

“Sebagai seorang warganegara dan warga negeri Selangor, saya rasa bertanggungjawab untuk mencuba sedikit sebanyak dan sedaya upaya saya untuk meningkatkan taraf hidup rakyat supaya rakyat rata-rata, tidak kira yang kaya mahupun yang miskin, boleh hidup dengan lebih selamat dan selesa di negara ini.

“Saya pernah tinggal di luar negara dan negara maju selama lapan tahun. Ketika di sana saya melihat bagaimana perkhidmatan awam dan infrastruktur asas mereka seperti bekalan air diurus dengan standard yang tinggi.

“Harapan saya satu hari nanti rakyat Malaysia akan boleh minum air terus dari paip tanpa perlu membeli atau membayar bulanan sistem penapis air persendirian yang mahal,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, selalu terfikir apabila bekalan air tidak bersih, apa akan jadi kepada rakyat miskin yang tidak mampu untuk membeli atau membayar bulanan sistem penapisan air persendirian di rumah.

“Persoalan ini menghantui saya setiap kali apabila saya buka paip untuk minum air.

“Saya faham berkenaan bagaimana dasar-dasar kerajaan memberikan kesan kepada kehidupan rakyat. Jika dasar, keputusan atau pelaksanaan kerajaan terkhilaf, kepentingan awam akan tergugat dan rakyat akan sengsara,” katanya.

Menurutnya, memang tiada kerajaan di dunia yang sempurna dan kadang-kadang kerajaan terkhilaf melakukan kesilapan.

“Sebab itu semak imbang kerajaan adalah penting dan kita boleh menyemak imbang kerajaan dengan pelbagai cara termasuk dengan cara menulis untuk pengetahuan awam dan untuk menegur kerajaan,” katanya.

Beliau turut merujuk mengenai kes disaman susulan satu artikel ditulisnya pada 2018 mengenai isu air Selangor dan Kesihatan Awam.

“Jika saya perlu lawan dan istiqamah dalam hal ini, walaupun dengan pelbagai cabaran dan dugaan melanda, saya akan teruskan dengan sabar dan doa dan dengan bantuan Allah SWT,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here