MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menganggap kejayaan Lee Zii Jia menjuarai All England malam tadi amat membanggakan negara.
Reezal Merican berkata, beliau sempat membuat panggilan video bersama juara Zii Jia dan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann malam tadi.
“Sokongan padu rakyat Malaysia sememangnya memberi ‘semangat kaw’ kepada Zii Jia untuk beraksi dengan cemerlang.
“Saya sendiri teruja dengan kemenangan ini. Ia kemenangan pasukan Malaysia. Ia kemenangan kita bersama,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam tadi.
Reezal Merican berkata, semua atlet negara sebenarnya telah mempamerkan persembahan yang cukup mantap dan bertenaga.
“Saya juga bangga dengan semangat juang Pearly/Thinaah dan Peng Soon/Liu Ying untuk menjulang Jalur Gemilang di persada All England.
“Jangan sesekali berputus asa. Kita teruskan perjuangan dalam misi seterusnya,” katanya.
Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Team Malaysia juga khusus daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan Kabinet serta seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong pada setiap masa, tanpa jemu.
“Semangat Untuk Malaysia! Semangat Demi Malaysia!,” katanya.
Terdahulu, pemain dari Alor Setar, Kedah itu menewaskan pemain di ranking kedua dunia dari Denmark, Viktor Axelsen 30-29, 20-22, 21-9 di Utilita Arena Birmingham, England.
Kejayaan menewaskan juara bertahan itu pastinya cukup manis buat Zii Jia yang sebelum ini dikecewakan Axelsen pada aksi separuh akhir di pentas yang sama tahun lalu.
Kali terakhir Zii Jia menewaskan Axelsen adalah di pusingan kedua Terbuka Korea pada tahun 2019.
Kejayaan Zii Jia itu juga secara tidak langsung mengakhiri penantian trofi dalam acara perseorangan lelaki negara di All England selepas kali terakhir diraih Datuk Lee Chong Wei pada tahun 2017. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/22/syabas-lee-zii-jia-anda-wira-kebanggaan-negara-muhyiddin/

