SEKEPING gambar majlis perkahwinan anak kepada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang berlangsung di Putrajaya semalam, kini menjadi tumpuan netizen yang mendakwa ia melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Gambar dipercayai dimuatnaik di media sosial oleh ahli keluarga itu menunjukkan foto beramai-ramai di atas pelamin bersama pasangan pengantin dan mendapat pelbagai komen termasuk mempersoalkan pelanggaran SOP seperti tidak memakai pelitup muka serta tiada penjarakan sosial.

Seorang pengguna Twitter dengan nama Zack Rockstar turut bertanyakan perkara itu kepada Dr Noor Hisham melalui Twitternya.
“Tahniah @DGHisham dapat menantu tetapi kenapa macam takde SOP? Facemask tak pakai penjarakan sosial pun takde nampaknya,” ciapnya berserta dengan tangkap layar gambar majlis perkahwinan itu.
Persoalan itu mendapat perhatian Dr Noor Hisham dan membalas komen dengan memaklumkan gambar yang dirakam berkenaan adalah membabitkan ahli keluarga sahaja.

“Ini semua ahli keluarga saya dan tiada orang luar.
“Hanya untuk bergambar seketika atas pentas,” jawabnya.
Malaysiapost semalam melaporkan Dr Noor Hisham mengadakan majlis pernikahan anaknya di Putrajaya.
Perkara itu dikongsi personaliti televisyen, Fedtri Yahya, menerusi hantaran di laman Facebook dan turut memuatnaik gambar semasa mengacarakan majlis pernikahan anak Dr Noor Hisham.
Fedtri berkongsi gambar bersama Dr Noor Hisham, yang berpakaian baju Melayu berwarna biru pastel yang tersenyum bahagia selesai majlis pernikahan anaknya.
Hantaran tersebut dihujani dengan ucapan tahniah daripada netizen dan rata-rata memuji majlis tersebut kelihatan indah dan sempurna biarpun berlangsung dengan jumlah tetamu yang tidak begitu ramai. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/21/dr-noor-hisham-terima-menantu-hari-ini/

