Najamuddin Mohd Nor
PROKLAMASI darurat yang sedang berlangsung ketika ini tidak boleh dinilaikan sama seperti pengisytiharaan darurat pada tahun 1969.
Pakar Perlembagaan, Abdul Aziz Bari berkata, tidak adil untuk darurat 1969 dijadikan contoh terbaik kerana situasi pada masa itu jauh berbeza dengan situasi sebenar yang melanda negara ketika ini.
“Betul tapi keadaan waktu itu tak sama dengan sekarang. Sebenarnya darurat 1969 itu pun banyak isu, ia bukan model terbaik,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost, hari ini.
Abdul Aziz yang juga merupakan Adun Tebing Tinggi berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan bahawa Parlimen pernah mencatatkan sejarah tidak bersidang selama dua tahun pada zaman darurat 1969.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, pelbagai isu dan spekulasi berkaitan darurat 1969 yang masih belum terjawab sehingga hari ini yang menunjukkan ianya memang perbezaan yang ketara jika dibandingkan proklamasi darurat yang berlansung sekarang.
“Ada beberapa isu yang masih menjadi tanda tanya, termasuk siapakah yang menasihatkan Agong ketika itu supaya darurat diisytiharkan.
“Ia masih menjadi persoalan sehingga hari ini, sama ada Perdana Menteri masa itu Tunku Abdul Rahman atau Tun Abdul Razak?
“Persoalan lain, sudahkah kerajaan baru dilantik selepas pilihanraya umum 1969, negara pada masa itu baru sahaja selesai pilihanraya umum, masih belum terjawab adakah pada masa itu kerajaan sudah tertubuh sebelum diisytiharkan darurat.
“Benarkah Sultan dan Raja-Raja Melayu pada masa itu tidak selesa dengan perisytiharan darurat itu? Kerana kekecohan hanya berlaku di Kuala Lumpur dan tidak di seluruh negara,” jelasnya.
Sambil menyorot peristiwa penting negara itu, Abdul Aziz sempat menyindir Takiyuddin agar menyelidiki segala faktor dan sejarah yang tersirat berkaitan darurat 1969 sebelum membuat perbandingan dengan proklamasi darurat yang berlangsung sekarang.
“Takiyudin harus berhati-hati membuat kenyataan kerana silap gaya ia hanya akan memalukan kerajaan khususnya pimpinan Umno ketika itu.
“Sebelum itu, Tun Razak menggunakan insiden itu untuk memaksa Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan, ia telah dibangkitkan oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas. Ia dipercayai ada bersangkut paut yang kuat dengan isu politik dalam Umno pada masa itu.
“Tunku Abdul Rahman akhirnya meletakkan jawatan dan Tun Razak jadi Perdana Menteri pada September 1970,” kata Ketua Pembangkan Dewan Negeri Perak itu.
Semalam, Takiyuddin menegaskan perjalanan pentadbiran negara tidak terjejas walaupun Dewan Rakyat tidak bersidang kerana proklamasi darurat.
Takiyuddin telah memberikan contoh ianya sama ketika darurat yang diisytihar pada 1969.
“Kalau tahun 1969 dulu, dua tahun Parlimen tidak bersidang pun, tidak ada masalah dalam perjalanan kerajaan.
“Kita baru bersidang pada Disember baru-baru ini ketika luluskan belanjawan, sekarang bulan Mac. Baru empat bulan tak bersidang, jadi tak timbul masalah,” katanya.
Darurat 1969 berlaku susulan peristiwa hitam rusuhan antara kaum pada 13 Mei sejurus negara selesai mengadakan pilihanraya umum.
Ia berkuatkuasa bermula 15 Mei 1969 hingga 23 Februari 1971. Sepanjang tempoh itu, negara ditadbir Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang diketuai perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein.
Manakala, proklamasi darurat yang sedang berlangsung sekarang telah diisytiharkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mendapat perkenan Duli Yang Di Pertuan Agong.
Proklamasi Darurat yang bertujuan memerangi pandemik Covid-19 itu bermula 12 Januari dan akan berakhir pada 1 Ogos ini. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

