PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia kini berpeluang merangkul gelaran juara badminton All England buat kali pertama, apabila menewaskan pemain Belanda, Mark Caljouw di Birmingham, hari ini untuk mara ke peringkat akhir kejohanan.
Zii Jia, pilihan keenam, menundukkan Caljouw dengan ‘straight set’ 21-13, 21-17 dalam perlawanan di Utilita Arena.
Dalam aksi final hari ini, Zii Jia bakal bertemu jaguh Denmark, Viktor Axelsen – pemain yang menyekat kemaraannnya pada separuh akhir kejohanan sama tahun lalu.
Terdahulu, Zii Jia, pemain nombor 10 dunia jelas menguasai perlawanan di set pertama, namun di set kedua Caljouw cuba memberi saingan, lapor Bernama.
Di satu ketika Caljouw berupaya mengambil peluang daripada kelalaian Zii Jia, sebelum pemain Malaysia berumur 22 tahun dari Kedah itu bangkit dan memuktamadkan kemenangan.
Zii Jia membaiki penampilannya dalam kejohanan All England kali ini, selepas edisi tahun lalu menyaksikan kemaraannya disekat Axelsen di separuh akhir dengan keputusan 17-21, 21-13, 21-19.
Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, Axelsen menewaskan pilihan ketiga Anders Antonsen 16-21, 21-7, 21-17 sekali gus menempah pertemuan dengan Zii Jia di final nanti.
Sementara itu, cabaran beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berakhir setelah tewas kepada beregu bukan pilihan dari Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo dengan 21-14, 22-20 pada separuh akhir. – Malaysiapost

