Bekas jaguh angkat berat sakit jantung, jadi pemandu e-Hailing

0
2

MASIH ingat lagi dengan Muhammad Hidayat Hamidon? 

Pemenang pingat emas acara angkat berat Sukan Komanwel 1998 itu kini mengalami masalah jantung serta jangkitan paru-paru dan menjadi pemandu kenderaan e-hailing demi kelangsungan hidup. 

Nasib menimpa atlet itu mendapat perhatian Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), untuk membantunya dari segi bayaran perubatan dan rawatan terbaik di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mahupun Institut Jantung Negara (IJN). 

Disebabkan masalah kesihatan, Hidayat disarankan pihak doktor HKL untuk berehat bagi menstabilkan keadaan jantungnya. 

Namun, katanya, beliau akan melakukan tugasan sebagai pemandu e-hailing secara separuh masa. 

“Memang dari segi pendapatan, tidak ada lagi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020. Insya-Allah selepas baik daripada sakit nanti, mungkin ada jalan terbaik untuk saya dapatkan kerja semula. 

“Sejak PKP, saya bawa Grab, itu pun ikut semampu saya. Sekarang ini, saya tak boleh lagi buat secara sepenuh masa, mungkin dalam tiga atau empat jam saya akan bawa. Itulah untuk membantu kehidupan saya hari-hari. 

“Namun, buat sementara waktu ini, dalam sebulan ini doktor minta saya berehat untuk menstabilkan keadaan jantung saya.” katanya seperti dilapor Berita Harian. 

Minggu lalu, Hidayat mengalami sesak nafas sebelum dikejarkan ke HKL dan menerusi laporan perubatan, didapati mempunyai masalah jantung serta paru-paru berair. 

“Pada 24 Mac ini, saya mempunyai temujanji rawatan susulan bersama pakar jantung di HKL,” katanya. 

Hidayat berkata pihak hospital masih belum memberitahu jangkaan jumlah kos untuk rawatan. 

“Cuma doktor beritahu saya supaya terus bersemangat seperti mana ketika saya menjadi jurulatih dan atlet. 

“Doktor juga beritahu supaya tidak mengambil sebarang ubat perangsang, protein. Ini untuk membolehkan mereka melihat bagaimana keadaan jantung saya,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata pihaknya akan membantu Hidayat bagi membolehkan ahlinya itu kembali menjalani kehidupan seperti biasa. 

“Sekiranya beliau perlu dimasukkan ke IJN, kami akan bantu kerana IJN sudah bersiap sedia untuk membantu Hidayat. 

“Kalau di HKL, kami akan cuba dapatkan (perkhidmatan) yang terbaik kepada Hidayat. Kalau kos ubat mahal atau sukar didapati di HKL, kami di YAKEB akan bantu untuk membeli ubat-ubatan berkenaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here