Kesiapsiagaan jentera, tangkis persepsi antara syarat menang PRU15

0
2

NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan jentera pilihan raya Umno tentang beberapa pra-syarat untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.  

Beliau yang juga Pengerusi Biro Latihan dan Perkaderan Umno, berkata syarat paling utama adalah kesiapsiagaan jentera parti.  

“Kesiapsiagaan jentera pilihan raya sangat penting, kalau kita berperang dalam keadaan tentera tidak bersedia tentu sahaja kita akan kalah,” katanya ketika berucap merasmikan Program Bangkit 15 Umno Selangor di ibu negara malam tadi.  

Menurutnya, sebab itu Program Bangkit 15 diadakan untuk memastikan kesiapsiagaan jentera dan bertujuan melengkapkan diri setiap ahli Umno dalam menghadapi PRU15.  

“Sebagai contoh jentera pilihan raya di Selangor jauh berbeza daripada tempat lain seperti di Bera tempat saya.  

“Kalau tempat saya boleh masuk rumah ke rumah tetapi tidak mungkin cara sama boleh dilakukan di Selangor, namun mungkin boleh melalui media sosial,” katanya.  

Ismail Sabri berkata, syarat kedua adalah dari segi penguasaan pemikiran pengundi.  

“Kalau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih kekal di Selangor sukar untuk mengadakan ceramah, jadi persepsi dan juga nak ubah dari segi pemikiran pengundi mestilah melalui media sosial dan sebagainya. Jadi penguasaan pemikiran itu penting,” katanya.  

Beliau berkata, kekalahan pada PRU14 yang lalu antara puncanya adalah kerana gagal menjawab persepsi dan fitnah yang ditimbulkan oleh pembangkang ketika itu.  

“Banyak isu-isu yang dimainkan, sama ada lewat untuk menjawab ataupun tidak mampu untuk menjawab,” katanya.  

Menurutnya, syarat lain adalah dari segi kewangan dan manifesto yang boleh diterima rakyat.  

“Manifesto mesti lebih baik daripada kerajaan hari ini, tetapi jangan sampai terlalu jauh lebih baik kerana kita takut rakyat tidak mempercayainya. 

“Kerana rakyat sudah sedar penipuan manifesto yang dilakukan oleh Pakatan Harapan sebelum ini yang terlalu berjanji hingga tidak dapat menunaikannya,” katanya.  

Ismail Sabri berkata, syarat seterusnya adalah strategi yang jelas supaya boleh menang dalam pilihan raya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here