Segerakan RCI siasat Tommy Thomas

0
1

KERAJAAN digesa supaya segera mewujudkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.  

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi, berkata banyak laporan polis telah dibuat terhadap Tommy termasuk oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali dan bekas Peguam Cara III, Mohamad Hanafiah Zakaria. 

“Cerita Tommy Thomas jangan disenyapkan. Sudahkah dia dipanggil ke Bukit Aman? 

“Amat wajar semua pihak termasuk Umno menuntut kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera menubuhkan RCI untuk menyiasat Tommy Thomas. 

“Banyak alasan kenapa RCI perlu ekoran pendedahan beliau dalam buku memoirnya itu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.  

Menurutnya, antara alasannya adalah Peguam Negara Tan Sri Idris Harun mendakwa buku memoir itu jelas menghina institusi perundangan negara. 

“Tommy Thomas juga mendedahkan, Tun M (Dr Mahathir Mohamad) bersetuju melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar di Malaya dan Hakim Besar di Sabah dan Sarawak atas ‘recommendation’ beliau. 

“Banyak pihak mendakwa buku memoir itu bertentangan dengan Seksyen 26 Akta Keterangan 1950 dan Tommy Thomas dituduh langgar OSA dan selaku penasihat utama kerajaan dia terikat dengan kerahsiaan di bawah Artikel 145,” katanya.  

Beliau berkata, alasan lain adalah motif buku memoir tersebut penuh dengan fitnah termasuk menghina Allahyarham Tun Abdul Razak.  

“Tommy juga menuduh penjawat awam dungu serta menghina keputusan Hakim Mahkamah Koroner mengenai pembunuhan Adib.  

“Beliau menuduh DYMM YDP Agung mahu Wan Azizah jadi PM untuk ganti Tun M yang letak jawatan, apakah Tommy menuduh YDP Agung main politik? 

“Pendedahan Tommy kenapa dia tidak mendakwa 12 orang penyokong LTTE setelah mendapat persetujuan Tun Mahathir juga amat menggusarkan,” katanya  

Puad berkata, banyak lagi kontroversi yang didedahkan oleh Tommy dalam buku tulisannya yang perlu disiasat secara bebas. 

“Justeru segerakan RCI terhadap Tommy Thomas demi memelihara imej keadilan, perundangan dan integriti hakim negara,” katanya. – Malaysiapost 

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/04/tommy-thomas-hilang-kredibiliti-sebagai-bekas-peguam-negara/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here