UMNO perlu segera merumus formula kemenangan dan ketepikan soal individu, puak, ‘warlords’ dan seumpamanya dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
Menurutnya, parti itu bukan milik sesiapa kerana ia milik semua orang Melayu, Bumiputera atau rumpun Melayu dan umat Islam serta menjadi wadah perjuangan mereka dalam sebuah negara majmuk.
“Kini Umno sedang melalui fasa menentukan stragegi. Terdapat perbezaan pendapat… ia harus diraikan.
“Yang pasti, Umno tak mampu tewas PRU15. Sejarah PRU14 jangan berulang di mana yang memimpin terlalu yakin menang besar. Para pengampu mendendangkan lagu yang lunak di dengar.
“Akhirnya ramai yang gagal dan tidak dapat menyumbang kerusi Umno tandingi… kecuali 55 wira yang berjaya dan memenangi pilihan raya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), berkata situasi sama ketika PRU14 berulang lagi dengan ‘nyanyian lagu’ untuk sedap didengar pemimpin parti dan yang berbeza pendapat diejek, difitnah, digelar pengkhianat dan kononnya ejen parti lain.
“Kadang-kadang teringin juga untuk mengetahui dari kawasan Parlimen mana mereka datang. Ingin juga meninjau apakah benar cara mereka akan memungkinkan mereka memenangkan Umno di kawasan mereka.
“Kita mendoakan Umno beroleh formula yg menjamin kita mengekalkan semua 55 kerusi yang kita menangi PRU15. Kita juga mengharapkan muafakat yang boleh menambahkan 11 lagi kerusi yang kita tewas dalam pertandingan tiga penjuru dan jika sepakat, kita menang mudah di situ.
“Selain itu ada 23 lagi kerusi Umno cuma memerlukan lima peratus ‘swing’ untuk menawannya dalam PRU15.. ertinya terdapat 89 kerusi yang Umno punya prospek memenanginya, dengan syarat Umno dapat dokongan dan sepakat dengan parti sahabat,” katanya.
Beliau berkata, Umno perlu berunding, mencari formula terbaik secara strategik, namun malangnya tidak ramai melihat secara terperinci prospek parti kerana terbelenggu dengan puak, ‘warlords’, sentimen peribadi dan agenda sendiri. – Malaysiapost

