KESIAPSIAGAAN jentera pilihan raya Umno dipertingkatkan lagi melalui Program Bangkit 15 khusus bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Program berkenaan kali ini dilaksanakan oleh Umno Selangor di sebuah hotel di ibu negara malam tadi dengan dirasmikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Seramai 350 wakil daripada 22 Bahagian Umno Selangor menghadiri program selama tiga hari itu.
Ismail Sabri yang juga Pengerusi Biro Latihan dan Perkaderan Umno dan Menteri Kanan (Pertahanan) dalam ucapan perasmiannya percaya Umno Selangor sudah bersedia dengan jentera pilihan rayanya dan mampu menghadapi PRU15 pada bila-bila masa.
“Umno Selangor sudah bersedia dengan jentera… bila-bila masa sahaja bersedia untuk hadapi PRU15.
“Saya yakin Umno akan dapat merampas semula Selangor dalam pilihan raya kali ini,” katanya.
Program Bangkit 15 malam tadi adalah yang ketiga dirasmikan Ismail Sabri selepas sebelum ini merasmikan program Bangkit 15 Umno Wilayah Persekutuan dan Kedah.
Beliau dijangka merasmikan Program Bangkit 15 Umno Perak pada Ahad ini di Ipoh. – Malaysiapost

