MENJELANG Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang dijadualkan berlangsung pada 27 dan 28 Mac ini, timbul isu mendakwa jurucakap bagi setiap perhubungan negeri yang telah dipilih sebelum ini, diarah ditukar.
Mendedahkan perkara itu, Ahli Parlimen Ketereh yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, mendakwa pertukaran itu semasa-mata kerana dikhuatiri mereka tidak akan berucap mengikut kemahuan pihak tertentu.
“Beberapa negeri mengadu senarai jurucakap negeri yg telah dipilih diarah supaya ditukar, semata mata kerana di khuatiri mereka tidak akan berucap mengikut ‘skrip’ dan ‘lagu’ yang di mahukan pihak tertentu.
“Ini di katakan berlaku di beberapa negeri termasuk Kelantan dan Wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, perkembangan itu tidak sihat, bukan saja ia prejudis kepada yang telah dipilih, tetapi ia juga menjejaskan wibawa mereka yang bakal berucap.
“Ini kerana mereka dilihat sebagai orang yang bersuara bagi pihak satu kumpulan tertentu.
“Ini akan menyebabkan perwakilan tidak lagi memandang serius ucapan mereka kerana mereka di anggap sebagai ‘jurucakap yang di pasang’ untuk bercakap nada yang diarah dan dikehendaki pimpinan,” katanya.
Annuar berkata, perkembangan itu juga merupakan satu lagi kecacatan yang terus melemahkan Umno.
Pendedahan itu turut mendapat pelbagai reaksi pengguna Facebook termasuk ada yang mempersoalkan tindakan beliau mendedahkan isu dalaman parti di media sosial.
Fareez Amran dalam komennya berpendapat parti jadi cacat dan tidak sihat bila mana semua ‘aib’ parti dibuka dilaman sosial untuk tontonan umum.
“Apa yang parti dan pimpinan buat sesuatu keputusan, ia melibatkan strategi, lebih2 lagi kita kearah PRU…sepatutnya keharmonian terus dipelihara bukannya mengundangkan persepsi buruk…susah bila kita tidak berjiwa besar dan dada tidak lapang..ini lah tindakan yang sangat tidak wajar,” katanya.
Sementara itu, Musa Sabri berpendapat tindakan secara tiba-tiba menukar jurucakap PAU mengikut selera orang tertentu adalah tidak sihat.
“Keputusan parti ni sepatutnya musyawarah bukan hanya ditentukan org tertentu saja. Ke parti kita (Umno) ni masih pakai sistem autokratik?,” soalnya – Malaysiapost

