Kakitangan kedutaan Korea Utara diarah tinggalkan Malaysia

0
3

KERAJAAN mengarahkan semua kakitangan diplomatik kedutaan Korea Utara dan ahli keluarga mereka di Kuala Lumpur supaya meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam mulai hari ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan ia susulan tindakan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia berikutan seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Menurut kenyataan itu, Malaysia berhak melindungi hak dan kedaulatannya sebagai tindak balas terhadap keputusan Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatiknya dengan negara ini.

Malah, Malaysia amat kecewa dengan keputusan yang dibuat Korea Utara dan menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak konstruktif serta tidak menghormati semangat setia kawan sebagai anggota komuniti antarabangsa.

Terdahulu, Korea Utara hari ini mengumumkan bahawa negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Menurut Kementerian Luar Pyongyang, ia adalah tindak balas terhadap tindakan Malaysia mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke Amerika Syarikat (AS), awal bulan ini.

Kementerian itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai ‘jenayah tidak boleh dimaafkan’ yang didakwa dilakukan kerana tekanan AS.

“Kementerian Luar Korea Utara mengumumkan hubungan diplomatik dengan Malaysia diputuskan secara total,” menurut laporan agensi berita KCNA. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/19/korea-utara-putuskan-hubungan-diplomatik-tidak-rugikan-malaysia/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here