Pengundi 18 tahun tidak perlu jadi ahli politik

0
3

GOLONGAN anak muda berusia 18 tahun perlu diberi peluang dan ruang sewajarnya untuk turut melibatkan diri dalam proses membuat keputusan, termasuk dalam soal pilihan raya.

Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh, berkata pembabitan mereka dalam proses demokrasi itu juga bukan bermakna mereka perlu menjadi ahli politik.

Beliau yang juga Ketua Pasukan Khas Undi Automatik 18 Tahun Barisan Nasional (BN), berpendapat kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim mengenai alasan kekhuatiran ibu bapa mengenai perkara itu juga agak mengelirukan.

“Apa kaitan kekhuatiran ibu bapa dengan pilihan anak-anak mereka untuk terlibat dalam pilihan raya sebagai pengundi?

“Saya dengar YB Tan Sri juga ada bertanya ‘Adakah ibu bapa bersedia anak-anak mereka menjadi politician seusai persekolahan?’.

“Adakah semua yang mengundi ditakrif sebagai ahli politik?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mengikut logik apa yang dikatakan itu adalah tanggapan bahawa semua yang layak mengundi adalah ahli politik.

“Anak-anak muda kita perlu diberi peluang dan ruang yang sewajarnya untuk turut melibatkan diri dalam proses ‘decision making’, termasuk dalam soal pilihan raya.

“Dunia hari ini sudah banyak berubah YB Tan Sri berbanding dengan zaman Tan Sri. Anak muda lebih berilmu dan berpengetahuan.

“Ya mungkin mereka kurang berpengalaman. Tapi bukannya tidak layak langsung dan jika kurang berpengalaman, kita yang patutnya beri tunjuk ajar dan memberdayakan mereka. Jangan asyik merendah-rendahkan mereka,” katanya.

Sivarraajh berkata, pindaan Perlembagaan untuk menurunkan had umur mengundi menerima sokongan semua Ahli-Ahli Dewan Rakyat, maka adalah lebih baik sebarang langkah terkait penerusan agenda itu diputuskan Ahli-Ahli Dewan Rakyat sendiri.

“Buat masa sekarang, gerakkan jentera kerajaan untuk melakukan segala persiapan terkait. Beri mereka peluang, beri mereka tunjuk ajar.

“Tan Sri perlu terima hakikat bahawa zaman sekarang adalah adalah zaman anak muda dan kita perlu beri kepercayaan pada mereka,” katanya

Beliau berkata, selaku Ketua Pasukan Khas Undi Automatik 18 Tahun BN, pihaknya akan terus usaha bagi memantau dan memastikan pelaksanaan dasar – dasar terkait pelaksanaannya dilaksanakan sebaik mungkin.

Katanya, ia termasuk dengan mengambil kira pelbagai faktor dan keperluan orang muda demi kelangsungan demokrasi di Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here