Kalimah Allah: Gerakan puji pendirian Hadi

0
2

PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) memuji pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Setiausaha Agungnya Mak Kah Keong, berkata parti itu mengalu-alukan kenyataan Abdul Hadi yang berpendapat tiada sesiapa boleh menghalang mana-mana pihak menggunakan kalimah berkenaan.

Katanya, pendirian Abdul Hadi itu merupakan sikap yang meraikan kepelbagaian agama dan kepercayaan di Malaysia.

“GERAKAN menghargai kenyataan tersebut yang datang daripada seorang tokoh Islam yang amat dihormati oleh kita semua, dan ianya juga akan meningkatkan semangat saling hormat menghormati dan memberi ruang kepada semua dalam memahami isu tersebut.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kenyataan Abdul Hadi adalah selaras dengan prinsip Rukun Negara sebagai landasan untuk mencapai perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia.

Katanya, Gerakan percaya Islam sebagai agama rasmi persekutuan mementingkan kesaksamaan dan menghormati kebebasan beragama lain, sejajar dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai anggota parti dalam Perikatan Nasional, GERAKAN akan sentiasa mempertahankan kepelbagaian kebudayaan dan agama, dan memastikan perpaduan sebagai asas kepada pembentukan agenda keMalaysiaan.”

“Kenyataan Presiden PAS tersebut terus meningkatkan keyakinan kami bahawa PN komited dengan agenda perpaduan nasional dan kesaksamaan dalam semua perkara termasuk dalam kehidupan beragama,” katanya. -Malaysiapost

Baru-baru ini, Abdul Hadi memaklumkan pada dasarnya tiada larangan untuk menyebut perkataan kalimah Allah walaupun bagi penganut agama bukan Islam namun ada sempadan penggunaannya.

Kata Abdul Hadi, ia termasuk penganut agama yang melantik paling banyak Tuhan, bahkan golongan tidak beragama dan ateis (tidak percaya adanya Tuhan) juga tidak boleh dilarang menyebut perkataan Allah, jika ia mahu diucapkan atau ditulis. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/12/kalimah-allah-tidak-boleh-dilarang-namun-ada-sempadan-hadi/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here