KERAJAAN tidak bercadang memperkenalkan cukai baharu ketika ekonomi negara di ambang pemulihan selepas terjejas dengan Covid-19.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sekarang bukan masa yang sesuai untuk memperkenalkan sebarang bentuk regim cukai baharu, sebaliknya fokus kerajaan kini adalah untuk menghidupkan semula ekonomi.
“Kita percaya ketika ekonomi sedang di ambang pemulihan, ia bukan masa yang sesuai untuk memperkenalkan sebarang bentuk regim cukai baharu.
“Bagaimanapun, Kementerian Kewangan masih mengkaji semua jenis cukai untuk tingkat hasil negara. Saya berpandangan garis masa juga sangat mustahak sebelum keputusan mengenai regim percukaian baharu dimuktamadkan,” katanya pada sidang media khas, hari ini.
Beliau mengulas mengenai cadangan pengenalan regim cukai baharu untuk meningkatkan pendapatan negara termasuk saranan memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan menjangkakan hasil negara akan meningkat sedikit tahun ini selaras dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 6.5 peratus hingga 7.5 peratus pada 2021.
“Tahun lalu, pendapatan negara menurun akibat penguncupan KDNK tetapi tahun ini kita jangkakan ada sedikit pemulihan hasil kerajaan.
“Kita akan melihat semua jenis regim cukai termasuk GST untuk tingkatkan hasil negara, tetapi selepas ekonomi pulih bukannya sekarang.
“Selepas ekonomi pulih, kerajaan akan kaji semula jalan terbaik untuk memiliki cukai sepatutnya bagi meningkatkan pendapatan negara,” katanya.
Tahun lalu, wujud saranan supaya kerajaan memperkenalkan semula GST pada kadar tiga peratus selepas cukai nilai tambah (VAT) itu dimansuhkan pada 2018.
Ia dikatakan menjadi langkah yang boleh dilaksanakan kerajaan untuk menutup ketirisan hasil negara akibat aktiviti dalam pasaran ekonomi gelap.
GST atau VAT terbukti sistem cukai telus, pengenaan cukai secara meluas dan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan negara.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian perlu dilaksanakan sebelum sistem percukaian, GST diperkenalkan semula di negara ini. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2020/12/29/pengecualian-cukai-jualan-kereta-dilanjutkan/

