Pemuda DAP Sarawak perlu minta maaf – Faiz Fadzil

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

Tindakan Pemuda DAP Sarawak menampal perkataan Cina di tiga papan tanda jalan di Kuching, Sarawak amat dikesali kerana tidak menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kata anggota Jawatankuasa Amanah Nasional, Faiz Fadzil.

Beliau berkata, tindakan itu boleh mengundang salah faham dalam kalangan masyarakat lain di negara ini terutama orang Melayu yang boleh diapi-apikan sesetengah pihak untuk menyemarakkan sentimen perkauman.

“Sebagai bahasa rasmi negara, Bahasa Melayu adalah tunjang kepada perpaduan masyarakat majmuk dan seharusnya Pemuda DAP Sarawak peka akan keperluan ini dalam membina sebuah negara bangsa yang makmur dan berdaya saing.

“Sebagai golongan muda, mempromosi dan membina perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini kini menjadi keutamaan perjuangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Semalam, Malaysia Post melaporkan tindakan menampal perkataan tulisan cina di tiga papan tanda jalan di Kuching itu mengundang kecaman warga net.

Menerusi Facebook DAP Sarawak, beberapa pemimpin parti ‘Roket’ itu menampal nama jalan dalam tulisan Cina di di Jalan Main Bazaar, Jalan Green Hill dan Lebuh Wayang.

Gambar yang dimuatnaik pada tengah hari itu dipenuhi dengan emoji marah dan keseluruhan komen tidak bersetuju dengan tindakan parti berkenaan.

Sementara itu, Faiz yang juga Adun Permatang Pasir berkata, alasan yang diberikan adalah bagi memudahkan pelancong asing terutama dari negara China adalah alasan remeh kerana setiap pelancong perlu menghormati bahasa kebangsaan sesebuah negara.

“Sudah pasti pelancong luar juga mahu mengenali bahasa kebangsaan negara yang dikunjungi. Inilah masanya rakyat Malaysia mempromosikan Bahasa Melayu dan pada masa sama menunjukkan jati diri rakyat Malaysia yang berbangga dengan bahasanya sendiri.

“Setiap negara mempunyai bahasa kebangsaan yang membentuk identiti sesebuah negara,” katanya.

Beliau berkata, sejajar Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perbuatan itu adalah tindakan yang tidak berperlembagaan dan melanggar Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan juga perbuatan vandalisme.

“Oleh itu, satu tindakan pencegahan (deterrent) perlu diambil. Selain itu, Pemuda DAP Sarawak perlu meminta maaf di atas keterlanjuran perbuatan ini.

“Tulisan bahasa Cina sebagai bahasa ibunda kaum Cina hendaklah digunakan pada premis yang sesuai dan mengikut keperluan dalam menghormati hak setiap kaum negara ini,” katanya.