Kami hanya mahu ‘kembalikan’ tulisan cina yang hilang – DAPSY

0
2

Beberapa papan tanda jalan di bandar Kuching dahulu mempunyai perkataan Cina namun dipadam tanpa sedar, kata Ahli Jawatankuasa DAP Sarawak, Julian Tan.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Stampin, mendakwa tindakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menampal pelekat tulisan Cina di beberapa papan tanda jalan bertujuan untuk “mengembalikan” tulisan yang telah hilang.

Menerusi hantaran di Facebook DAP Sarawak semalam, beberapa gambar ahli pimpinan DAPSY Kuching menampal nama jalan dalam tulisan Cina di Jalan Main Bazaar, Jalan Green Hill dan Lebuh Wayang.

“Perkataan Cina itu kemudiannya dipadamkan tanpa kita sedari. Itu sebabnya kita cuba mengembalikannya.

“Ia sebahagian daripada budaya Sarawak untuk mempunyai dua bahasa bagi papan tanda jalan di tempat sesuai.

“Kami memilih untuk mengembalikan perkataan Cina untuk papan tanda Jalan Main Bazaar, Wayang Street dan Jalan Greenhill kerana kebanyakan perniagaan di sana dijalankan masyarakat Cina,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Tambah Tan, pemilihan jalan tersebut khususnya Jalan Main Bazaar kerana ia lokasi perlancongan utama di mana terletaknya tokong Cina tertua di Kuching.

Susulan insiden berkenaan mendapat perhatian warganet, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengambil tindakan menanggalkan pelekat berbahasa Cina daripada beberapa papan tanda jalan tersebut.