DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarah mengambil tindakan segera bagi membina semula gerai untuk peniaga Pasar Datuk Keramat di ibu negara yang musnah dalam kebakaran petang semalam.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata DBKL akan berunding dengan semua peniaga yang terlibat serta pihak berkaitan lain secepat mungkin.
“Kalau semua setuju, kita akan bina semula pasar ini di tapak yang sama,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak kebakaran lewat malam tadi.
Annuar berkata, kementeriannya dan DBKL kini sedang menunggu laporan penuh berhubung kejadian tersebut dan keputusan mengenai langkah seterusnya dijangka dapat dibuat dalam tempoh lima hari.
“Kita kena tengok semua aspek, dalam tempoh lima hari kita akan buat keputusan dan mencari jalan untuk bina semula pasar ini dengan cepat, kita nak ia siap sebelum Ramadan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan seramai 46 peniaga hilang mata pencarian susulan kebakaran itu dan DBKL akan memberi bantuan tunai kepada kesemua mereka.
Kejadian kira-kira jam 5.30 petang semalam memusnahkan lebih 40 gerai di dalam kawasan pasar tersebut, namun tiada mangsa dilaporkan cedera atau melibatkan kehilangan nyawa.
Difahamkan, majoriti peniaga di kawasan Pasar Datuk Keramat adalah dalam kalangan Bumiputera yang menjual barang basah, makanan, pakaian dan perkakas rumah.
Kejadian itu turut tular di media sosial apabila video menunjukkan orang ramai berusaha memadam kebakaran besar yang memusnahkan deretan gerai beratap zink itu. – Malaysiapost

