PENGUMUMAN pakej bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang diumum Perdana Menteri semalam disifatkan ‘durian runtuh’ kepada warga kontraktor khususnya Bumiputera.
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff berkata pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin itu melegakan kontraktor Bumiputera yang sebelum ini berdepan pelbagai kesulitan serta masalah kewangan sepanjang negara bergelut dengan pandemik Covid-19.
Katanya, apa yang menarik dalam inisiatif Pemerkasa ialah kerajaan bersetuju menambah jumlah peruntukan bagi projek berskala kecil tahun ini daripada RM2.5 bilion kepada RM5 bilion.
Beliau berkata, antara jenis projek kecil yang akan dikhususkan kepada kontraktor G1 hingga G4 adalah pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang rosak akibat banjir, pembaikan jalan, program ameniti sosial, baik pulih perumahan berstrata termasuk penggantian lif di perumahan awam dan pembinaan gerai di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Peruntukan ini ternyata melegakan kami untuk mendapatkan peluang kerja bagi meneruskan survival perniagaan yang mencabar waktu ini. Sekurang-kurangnya warga kontraktor bolehlah meneruskan hidup buat masa ini terutama menjelang Ramadan dan sambutan Aidilfitri.
“Dengan peruntukan itu, PKBM berharap agihannya juga boleh dikhususkan kepada kontraktor muda B40 yang baru menceburi diri menjadi usahawan.
“Selain itu, agihan boleh diberi kepada kontraktor wanita yang bilangannya semakin bertambah. Mereka ini bersemangat dan memiliki kebolehan teknikal yang tinggi dalam bidang masing-masing,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Azman berkata, PKBM meminta ahlinya untuk meningkatkan ilmu pembinaan termasuk mengaplikasi penggunaan teknologi canggih.
Katanya, platform yang disediakan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) contohnya, terbukti mampu memberi bimbingan dan latihan kepada ahli untuk menggunakan teknologi baru seperti sistem binaan berindustri (IBS) dan teknologi pembinaan Model Informasi Bangunan (BIM).
“Kontrator juga digesa untuk memberi peluang pekerjaan di sektor pembinaan kepada pekerja tempatan terutama ketika tempoh pandemik ini, di mana ramai hilang punca pendapatan. Pekerja tempatan juga diharap janganlah terlalu memilih kerjaya.
“PKBM juga menyokong isu penempatan pekerja asing dengan penyediaan kemudahan lebih kondusif seperti diwartakan dalam Akta 446.
“Sudah sampai masanya industri pembinaan menuju ke arah kontrator yang lebih maju bagi menjaga kebajikan warga pekerja dengan memastikan keselesaan dan keselamatan mereka,” katanya. – Malaysiapost

