Pekerja ulang alik rentas negeri punca Kluster Ladang Bukit

0
2

KLUSTER baharu di Terengganu dikenali Kluster Ladang Bukit berpunca daripada seorang pekerja yang berulang alik ke sebuah negeri untuk bertemu anak dan isteri. 

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata Kluster Ladang Bukit melibatkan jangkitan di tempat kerja di Kerteh dan akhirnya merebak ke komuniti. 

Katanya, sehingga kini seramai 96 kes positif dikesan di mana 49 adalah pekerja manakala 47 adalah ahli keluarga dan seramai 1,023 kontak rapat berjaya dikesan. 

“Pada awalnya kes dikesan dari seorang pekerja yang mempunyai gejala. Rupanya ada seorang pekerja yang dikesan positif didapati berulang alik ke sebuah negeri kerana isteri dan anak tinggal di sana. 

“Iktibar dari mana-mana kluster adalah ahli keluarga akan menjangkiti ahli keluarga yang lain. Kita pun tahu pematuhan produser operasi standard (SOP) sangat sukar dalam kalangan keluarga. 

“Anak yang dijangkiti akan ke sekolah. Mungkin menjangkiti pula rakan sekelas dan guru mereka. Untuk kluster ini seramai lima pelajar dan seorang guru dari enam sekolah rendah telah dijangkiti,” katanya. 

Dr Nor Azimi berkata, apabila kes positif masuk bekerja, mereka akan menjangkiti rakan sekerja pula. 

“Apalagi kalau tempat kerja yang sempit dan sesak. Apalagi mereka bekerja bersama-sama selama 14 jam sehari. 

“Hasilnya seramai 49 dari 161 pekerja tadi  dikesan positif serentak. Ini bermaksud transmisi telah lama berlaku. 

“Kita akui pematuhan SOP di rumah sangat sukar tetapi pematuhan SOP oleh pekerja dan majikan di tempat kerja adalah mesti bagi mengelak penularan yang besar seperti di Ladang Bukit ini,” katanya. 

Jelasnya, sudah lebih setahun Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan mengenai kepatuhan  SOP. 

“Kita setuju rentas negeri tidak boleh selamanya dilarang. Sampai masa ia akan dibuka semula. Pokok  pangkal masih perlu kepada pematuhan SOP dan ia sepatutnya sudah menjadi norma baru oleh kita semua,” katanya lagi. – Malaysiapost 

Artikel Berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/03/12/45-disahkan-positif-di-terengganu-akibat-aktiviti-rentas-negeri/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here